ALOR SETAR: Kedah dijangka beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan melepasi indikator suntikan vaksin lebih 50 peratus penduduk, Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, pada masa ini, kadar vaksinasi dos pertama dalam kalangan penduduk yang berkelayakan di negeri itu mencapai sebanyak 40 peratus.
Sementara itu, katanya, kadar vaksinasi dos kedua penduduk di negeri ini pula mencapai sebanyak 21 peratus.
“Kriteria terbaharu bagi membolehkan fasa beralih tidak lagi mengambil kira nilai ambang atau jumlah katil di Unit Rawatan Rasmi (ICU) tetapi mengikut nilai kadar vaksinasi yang dicapai.
“Jika jumlah penggunaan katil di ICU meningkat tetapi kadar vaksinasi tinggi, negeri akan dinilai semula Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk keupayaan berubah fasa,” katanya selepas Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) di Pusat Komuniti Desa KEDA Kampung Bukit, Pokok Sena di sini, hari ini.
Dr. Mohd. Hayati menasihatkan penduduk di negeri ini segera mengambil vaksin supaya negeri ini dapat berubah fasa PPN. – UTUSAN ONLINE