SETIU : Seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas motosikal jenis Honda C100 ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Kampung Pelong di sini, emalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu mengakibatkan Muhammad Aidil Rayqal Azman, 15, maut akibat kecederaan yang dialami.
“Difahamkan tiga buah motosikal itu termasuk mangsa dalam perjalanan dari arah yang sama, dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan Pelong ke simpang empat Kampung Sungai Pelong-Kampung Sungai Tong.
“Kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa dikatakan sedang melakukan aksi berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan atau aksi wheelie. Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa melanggar bahagian tempat duduk salah sebuah lagi motosikal rakannya mengakibatkan kedua-duanya terjatuh ke bahu jalan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pada masa sama, seorang lagi rakan mereka yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y16ZR yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kepala Muhammad Aidil Rayqal yang berada di atas jalan.
Katanya, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Tong dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mohd. Zain menasihatkan golongan remaja supaya tidak melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal yang dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain. – UTUSAN










