JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Pelan Pemulihan Negara Fasa 1 berkuat kuasa hari ini.
Bahagian Korporat Dan Perhubungan Awam MBJB dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat merujuk kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis lalu.
Katanya, kebenaran beroperasi terkini yang diberikan sebagaimana SOP adalah kemudahan kepada penerima vaksinasi lengkap bagi 10 aktiviti di bawah sektor perdagangan dan pengedaran serta sektor pasar (aktiviti pasar tani, pasar pagi, pasar malam dan pasar minggu).
“Selain itu, kebenaran tambahan lain turut melibatkan sektor sukan dan riadah iaitu pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi komersial yang bersifat terbuka (outdoor) dan separa terbuka.
“Untuk makluman, individu yang telah lengkap divaksinasi ialah individu yang melepasi tempoh 14 hari bagi vaksin jenis dua dos (Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac) atau melepasi tempoh 28 hari selepas mengambil vaksin jenis satu suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino),” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, warga bandar raya boleh merujuk kepada notis pemberitahuan had waktu operasi aktiviti bagi pemilik premis perniagaan di dalam kawasan MBJB berkuatkuasa hari ini.
Katanya, notis itu sebagai rujukan secara terperinci berkaitan kemudahan-kemudahan yang dimaksudkan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap serta sektor ekonomi yang diberi kebenaran beroperasi.
Jelasnya, notis ini boleh didapati menerusi laman sesawang MBJB serta media-media sosial rasmi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
“Warga bandar raya adalah diingatkan bahawa kemudahan-kemudahan yang disebutkan ini adalah bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi negara dan bukan bermaksud keadaan kini telah selamat dari ancaman pandemik Covid-19.
“Sila pastikan anda tidak lalai dari mematuhi SOP yang berkuatkuasa serta memastikan keselamatan diri dan ahli keluarga sentiasa dipelihara di mana jua anda berada,” katanya. – UTUSAN










