Keadaan pandemik Covid-19 lebih kritikal pada Hari Kebangsaan, Hari Malaysia - Kit Siang  - Utusan Malaysia

Keadaan pandemik Covid-19 lebih kritikal pada Hari Kebangsaan, Hari Malaysia – Kit Siang 

LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka merekodkan lebih 1.5 juta kes keseluruhan jangkitan Covid-19 dan 15,000 kadar kematian menjelang Hari Kebangsaan Ke-64, 31 Ogos ini. 

Dianggarkan, sejumlah 20,000 kes kematian pula bakal direkodkan pada Hari Malaysia ke-58 yang pada 16 September ini. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri dari DAP, Lim Kit Siang berkata, hal ini berikutan negara sudah menghadapi tiga masalah serangkai dengan kes harian Covid-19 mencatatkan lebih 20,000 kes sehari, kadar kematian melebihi paras 10,000 dan jmlah kumulatif kes sebanyak 1,203,7089 kes, semalam. 

Justeru, beliau menggesa kerajaan menetapkan semula fokus untuk mengawal situasi pandemik Covid-19 dengan menamatkan krisis politik dan Perlembagaan yang masih berlarutan. 

“Kerajaan juga mesti mengakui kegagalan dalam melawan wabak sepanjang 20 bulan ini dan keperluan untuk merangka dasar dan strategi baharu untuk menggantikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang melibatkan seluruh masyarakat. 

“Parlimen mempunyai peranan besar untuk merangka dasar dan strategi baharu. Bagaimana mungkin dasar dan strategi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat melibatkan seluruh masyarakat jika tidak melibatkan seluruh Parlimen? 

“Selain itu, adalah mustahak untuk mengembalikan keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap dasar dan strategi baharu melawan Covid-19 berlandaskan dasar ‘hidup di samping Covid-19’ dan bukannya sifar Covid-19. 

“Sekatan dilaksanakan di Parlimen adalah contoh penerapan dasar ‘sifar Covid-19’ dan bukannya hidup di samping pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, veteran DAP itu berkata, masalah lain turut melanda negara pada Rabu lalu termasuk kes harian Covid-19 sebanyak 19,819 kes, 251 kematian, 1,060 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kes aktif Covid-19 tertinggi sebanyak 210,000 kes. 

Menurutnya, Malaysia antara lain berada di kedudukan nombor 10 di dunia bagi kes harian baharu Covid-19 dan kematian harian baharu akibat jangkitan wabak berkenaan. 

Memetik rekod Our World in Data, kata Kit Siang, purata tujuh hari kes harian baharu per sejuta penduduk di negara ini meningkat hampir enam kali ganda antara 1 Mei (94.2 per sejuta penduduk) dan 4 Ogos (536.87 per sejuta penduduk).

Tidak cukup dengan itu, Malaysia telah jatuh di kedudukan ke-16 kepada kedudukan ke-52 dalam Indeks Ketahanan Covid-19 oleh Bloomberg. 

“Apa yang sedang kita lakukan untuk menghalang Malaysia daripada terus tersungkur bersama negara-negara yang menunjukkan prestasi terburuk dalam menangani wabak Covid-19?

“Adakah kita memerlukan lebih banyak laporan daripada pihak antarabangsa seperti laporan Indeks Ketahanan Covid-19 yang dikeluarkan secara bulanan oleh Bloomberg untuk menyakinkan rakyat Malaysia bahawa kita telah tercampak jauh ke dalam kumpulan negara-negara yang menunjukkan prestasi paling buruk dalam menangani penularan Covid-19?,” soalnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN