Kawalan pandemik, vaksinasi berjalan lancar seperti dirancang - Utusan Malaysia

Kawalan pandemik, vaksinasi berjalan lancar seperti dirancang

LUQMAN Hakim Suhaimi merakam video semasa dia menerima vaksin di PPV IPT Mega UiTM Shah Alam, Shah Alam, Selangor pada 29 Julai 2021. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan kawalan pandemik dan vaksinasi di seluruh negara tetap berterusan dan berjalan lancar seperti dirancang biarpun berlaku perubahan dalam tampuk pemerintahan negara.

Buat masa ini, dua kementerian penting iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan sedia memastikan Malaysia mencapai perlindungan imuniti kelompok seperti disasarkan Oktober ini.

Menerusi kenyataan akhbar bersama, Kementerian Kesihatan dan MOSTI memaklumkan, peratusan populasi dewasa Malaysia lengkap divaksinasi sudah mencapai 47.2 peratus manakala lebih 73 peratus menerima suntikan dos pertama setakat 16 Ogos lalu.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak lebih 28 juta dos suntikan telah diberikan di negara ini malah, momentum kadar pemberian vaksinasi negara juga kekal konsisten dan terus melepasi 500,000 suntikan sehari.

“Selepas mengambil kira penjadualan bekalan penghantaran vaksin pada bulan ini, lebih 40 peratus populasi dewasa Malaysia akan lengkap dua dos menjelang akhir bulan ini,” katanya di sini hari ini.

Katanya, setakat 16 Ogos lalu, Sarawak, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka serta Labuan dan Lembah Klang telah mencapai nilai ambang itu.

“Lima negeri telah mencapai kadar 30 hingga 39 peratus iaitu Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Pahang dan Kedah mananala Kelantan, Johor dan Sabah pula berada dalam kategori 20 hingga 29 peratus,” katanya.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan akan terus melaksanakan langkah-langkah strategik bagi mengoptimumkan perkhidmatan penjagaan dan rawatan kesihatan awam di seluruh negara ketika berhadapan pandemik Covid-19 ini.

“Buat masa ini, Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) akan meneruskan fokus kepada usaha logistik, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), pemantauan kendiri di rumah dan memastikan sistem sokongan sosial bagi petugas barisan hadapan di Lembah Klang terus berfungsi dengan baik.

“Malah Kementerian Kesihatan juga telah melaksanakan perolehan pelbagai jenis vaksin Covid-19 antaranya Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac serta Cansino.

“Sehingga 16 Ogos lalu, sejumlah 33,879,979 dos telah dibekalkan untuk tujuan pemvaksinan,” katanya.

Katanya, vaksin terbukti berkesan mencegah daripada jangkitan Covid-19 di negara ini apabila hanya 1.5 peratus daripada 19,740 kes positif pada 16 Ogos lalu berada pada kategori 3 hingga 5.

Pada masa sama katanya, pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang juga mula membuahkan hasil apabila terdapat penurunan kes kemasukan hospital dan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN