'Kami simpati penderitaan penduduk' - IOI Properties - Utusan Malaysia

‘Kami simpati penderitaan penduduk’ – IOI Properties

CONEZION Residences terletak di IOI Resort City, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak IOI Properties, pemaju kondominium Conezion Residences memaklumkan, pihaknya menubuhkan segera jawatankuasa kerja dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB) bagi menyelesaikan isu kerosakan lif secepat mungkin.

Jaminan itu dinyatakan pemaju hartanah itu dalam ruangan komen di Facebook Utusan Online berhubung laporan berserta video ‘Penduduk Conezion kecewa, kondominium mewah bertaraf kos rendah?’ yang mendapat 327,000 tontonan.

IOI Properties berkata, pihaknya bersimpati dengan penderitaan dan kesulitan yang dilalui penduduk ekoran insiden limpahan tangki air pada 24 Julai lalu sehingga berlaku ‘banjir’ mengakibatkan air memasuki ruang lif dan berlaku kerosakan.

“Penyelenggaraan dan pengurusan kawasan umum telah diserahkan kepada JMB sejak 20 Julai lalu.

“Walaupun begitu, kami bersimpati dengan penderitaan dan kesulitan yang dilalui penduduk dan segera membentuk sebuah jawatankuasa kerja bekerjasama dan memberikan bantuan terbaik kami kepada JMB membantu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin,” katanya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan kekecewaan penduduk Conezion Residences, sebuah kondominium mewah berhubung tahap fasiliti daif terutama melibatkan perkhidmatan lif yang gagal berfungsi sepenuhnya mengakibatkan mereka terpaksa beratur panjang setiap hari untuk menggunakan kemudahan itu yang hanya satu beroperasi.

Lebih memburukkan, kediaman yang dibeli pada harga hampir RM1 juta itu hanya indah khabar dari rupa walaupun baru mendiami tiga tahun, namun pelbagai masalah berlaku sedangkan isu kualiti sepatutnya berada pada tahap tertinggi agar setimpal dengan kos kediaman.

Dalam pada itu, IOI Properties turut memberitahu, berdasarkan pemeriksaan Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) baru-baru ini terhadap semua lif di Conezion Residences, jabatan berkenaan mengesahkan pada 11 Jun lalu bahawa semua 20 lif kecuali lima lif (yang memerlukan penggantian alat ganti) selamat digunakan.

Katanya, JKKP mengarahkan agar lif ini dikendalikan oleh JMB.

“Pemilik dapat terus mendapatkan kemas kini mengenai isu ini melalui blog yang dibangunkan sejak 21 April lalu dan boleh menyemak nota perbincangan bersama JKKP di pautan berikut: https://drive.google.com/file/d/1k_4vgK3_subS_KF27gWGBJ21ZOCtUjRg/view.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN