Saman fitnah Dr. Dzulkefly - Najib selesai

Saman fitnah Dr. Dzulkefly – Najib selesai

DR. DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menuntut ganti rugi RM5 juta berhubung hantaran di Facebook mengenai isu nepotisme berjaya diselesaikan pada hari ini.

Hakim Mahazan Mat Taib merekodkan perintah persetujuan tanpa sebarang perintah berhubung kos.

Penyelesaian tersebut dicapai pada hari ketiga perbicaraan kes itu. Pada perbicaraan yang bermula sejak Selasa lalu, Dzulkefly dan anaknya, Nurul Iman telah selesai memberi keterangan dan hari ini sepatutnya diteruskan dengan soal balas terhadap anak perempuan menteri itu.

“Kes ditarik balik. Kita telah menjalani dua hari perbicaraan dan saya menghargai usaha kedua-dua pihak dan peguam-peguam dalam mencapai penyelesaian ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak dalam menyelesaikan perkara ini demi kepentingan awam.

“Mahkamah mengambil maklum bahawa perbicaraan telah berjalan selama dua hari, saksi telah dipanggil memberi keterangan dan dana awam telah digunakan.

“Bagaimanapun, mahkamah juga mengambil maklum mengenai usaha dan kerjasama pihak-pihak dalam mencapai penyelesaian ini. Saya ucapkan terima kasih kepada semua,”ujar Hakim Mahazan.

Terdahulu, Najib membacakan kenyataan bertulis menjelaskan hantaran yang dibuat di laman Facebook miliknya di mahkamah.

“Saya mengambil maklum bahawa aduan beliau (Dzulkefly) di mahkamah adalah bahawa hantaran saya itu didakwa memberi gambaran seolah-olah beliau mengamalkan nepotisme berhubung pelantikan anak perempuannya, Puan Nurul Iman ke Lembaga Pengarah AIM Solutions Group Bhd pada 30 April 2018 dan ke Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 1 Oktober 2018.

“Saya menerima bahawa beliau tidak terlibat dalam pelantikan-pelantikan tersebut dan bahawa tiada unsur nepotisme di pihak beliau.

“Saya ingin menjelaskan bahawa hantaran tersebut tidak bertujuan untuk memfitnah, dan juga tidak bertujuan untuk membayangkan bahawa plaintif adalah korup atau terlibat dalam nepotisme serta kronisme. Sebaliknya, ia bertujuan untuk menonjolkan persepsi mengenai standard berganda dalam kalangan parti-parti politik.

“Hantaran tersebut diterbitkan pada masa berkenaan semata-mata dalam kapasiti dan tanggungjawab saya sebagai seorang Ahli Parlimen. Walaupun hantaran saya adalah suatu bentuk ulasan politik, saya mengakui kesusahan yang telah ditimbulkan terhadap beliau dan keluarganya yang sama sekali bukan niat saya,”ujar Najib.

Selepas Najib selesai membacakan kenyataan tersebut, peguam Stanley Sebastian Sinnappen yang mewakili Dzulkefly memaklumkan mahkamah bahawa tiada terma-terma lain yang dimohon dan kes tidak lagi diteruskan.

Pada prosiding hari ini, Najib diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Pada Januari 2022, Dzulkefly yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Najib telah memuat naik hantaran berbaur fitnah di Facebook pada 24 Ogos 2020 berhubung isu kronisme bersama-sama lampiran tangkap layar artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar plaintif.

Beliau mendakwa kenyataan itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif mengamalkan kronisme dengan menawarkan jawatan atau pelantikan kepada ahli keluarga tanpa melalui penilaian yang objektif dan keupayaan bagi jawatan tertentu dalam kerajaan atau syarikat swasta.

Plaintif mendakwa Najib selaku defendan telah menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat menyerang peribadi beliau, merendah serta memalukannya selain bermotifkan politik bagi memfitnah dan merosakkan reputasinya.

Najib dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 29 Mac 2022 pula mendakwa hantaran mengenai isu kronisme itu tidak ada kena-mengena dengan Dzulkefly sebaliknya merujuk kepada gabungan parti dalam Pakatan Harapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN