Objek seperti torpedo ditemukan dekat Lombok - Utusan Malaysia

Objek seperti torpedo ditemukan dekat Lombok

SEBUAH objek seperti torpedo ditemukan dekat Selat Lombok. - Polis Indonesia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Tentera Laut Indonesia pada Khamis berkata ia sedang menyiasat satu objek menyerupai senjata yang bergerak dalam air, torpedo yang ditemukan oleh seorang nelayan berhampiran Selat Lombok, laluan maritim penting menghubungkan Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.

Menurut pihak tentera laut, objek sepanjang 3.7 meter dan lebar 65 sentimeter itu ditemukan di laut pada Isnin kira-kira 10 kilometer dari pulau pelancongan popular Gili Trawangan, Nusa Tenggara Barat.

Seorang nelayan berusia 28 tahun segera melaporkan penemuan luar biasa itu kepada pihak berkuasa tempatan, yang kemudian mengambilnya.

“Tentera Laut Indonesia akan segera menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas peranti itu bagi menentukan asal usul, fungsi dan data yang terkandung di dalamnya,” kata jurucakap tentera laut, Tunggul, kepada AFP.

“Tentera akan terus komited sepenuhnya dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan daripada segala bentuk aktiviti tanpa kebenaran, termasuk penggunaan peranti atau peralatan bawah air oleh pihak yang tidak dibenarkan di perairan Indonesia,” tambahnya.

Ketua Pangkalan Tentera Laut Mataram, Asep Tri Prabowo, memberitahu wartawan pada Rabu bahawa objek itu kini berada di bawah pengawasan ketat dan akan dihantar ke Jakarta untuk siasatan lanjut.

Beliau menambah bahawa pemeriksaan awal oleh skuad bom Polis Nusa Tenggara Barat mengesahkan objek itu tidak mengandungi sebarang bahan letupan atau bahan radioaktif.

Media Indonesia melaporkan bahawa tulisan pada objek itu menunjukkan ia mungkin dihasilkan oleh syarikat China Shipbuilding Industry Corporation. Ia dipercayai merupakan peranti untuk mengukur kelajuan arus laut.

Ini bukan kali pertama objek asing ditemukan di perairan Indonesia. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN