MUAR: Kerajaan akan mengkaji semula strategi sedia ada yang diguna pakai untuk memerangi Covid-19 bagi mengetahui sama ada masih berkesan menangani peningkatan kes yang melebihi 20,000 kes ketika ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan dibincangkan pada sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan dipengerusikannya Isnin ini.
Beliau yang turut bimbang dengan peningkatan itu berkata, kerajaan pada masa sama akan menilai isu-isu dalaman Kementerian Kesihatan termasuk mengenai kakitangan atau ubat-ubatan yang diperlukan seperti tangki oksigen.
“Kita akan bincang lagi Isnin ini khususnya di kawasan yang cukup terkesan di Greater Klang Valley yang ada dua buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor serta beberapa negeri yang datanya tunjuk ada peningkatan.
“Kita akan teliti dan halusi kenapa perkara itu (kenaikan) berlaku. Apakah langkah-langkah yang diambil ini tidak lagi cukup berkesan atau perlukah kita tingkatkan proses membuat ujian dan pengesanan kontak yang lebih banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Bakul Prihatin kepada penghulu-penghulu untuk diberikan kepada keluarga yang dikuarantin di Bukit Pasir, di sini hari ini.
Semalam, kes baharu Covid-19 pertama kali melepasi angka 20,000 kes dengan mencatatkan sebanyak 20,596 kes baharu yang mana Selangor dilaporkan 8,549 kes, diikuti Kuala Lumpur 2,163 kes dan Kedah 1,446 kes.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Kementerian Kesihatan khususnya jawatankuasa yang terlibat juga sudah diberi kuasa penuh untuk melakukan apa-apa perkara yang perlu dalam hal-hal tertentu tanpa merujuk kepadanya.
“Mereka boleh laksanakan sendiri walaupun melibatkan perbelanjaan kerana sebahagian besar telah kita peruntukkan dalam bajet untuk kementerian itu dan Jawatankuasa Khas Greater Klang Valley, bajet itu boleh digunakan,” katanya.
Berdasarkan data, Muhyiddin berkata, sebahagian besar kes Covid-19 tergolong dalam kategori 1 dan 2, manakala untuk kategori 3, 4 dan 5 hanya di bawah 1.2 peratus sahaja.
“Apa yang penting adalah untuk memastikan hospital-hospital bersedia dan mampu menyediakan kemudahan seperti unit rawatan rapi (ICU) dan kemudahan lain bagi menampung peningkatan kes,” ujarnya. – UTUSAN










