Kadar vaksinasi tinggi bukan isyarat buka sektor sosial - Utusan Malaysia

Kadar vaksinasi tinggi bukan isyarat buka sektor sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar penyakit berjangkit negara, Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman menegaskan, kadar vaksinasi yang tinggi bukan satu isyarat untuk membuka sektor perniagaan dan aktiviti sosial pada masa kini.

Menurut beliau, hal ini kerana hospital-hospital khususnya di Lembah Klang kini menghadapi peningkatan kes setiap hari termasuk pertambahan penggunaan katil dan unit rawatan rapi.

Beliau justeru itu berkata, beberapa indikator perlu dilihat sebelum membenarkan aktiviti perniagaan dan sosial dibuka semula termasuk membabitkan penurunan kes jangkitan.

“Perkara pertama perlu dilihat adalah Malaysia berhadapan peningkatan antara 200 hingga 300 kes baharu untuk setiap 100,000 populasi penduduk di mana standard ini digunapakai oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Selain itu, indikator perlu diperhalusi adalah peratusan kes positif dan jumlah penggunaan ICU di hospital. Hal ini kerana kadar ICU di hospital-hospital Lembah Klang lebih  di luar skala ditetapkan apabila para doktor terpaksa menghentikan sementara penggunaan ventilator untuk pesakit untuk digunakan kepada orang lain pula,” katanya dalam Sesi Webinar anjuran MIDF semalam.

Dr Adeeba kemudian menggesa agar indikator sedia ada dikekalkan sebelum membuka sektor lain atau negara akan berhadapan situasi lebih serius.

“Dalam situasi sekarang, saya tidak bersetuju jika membuka kedai secara dine in atau gimnasium di Lembah Klang kerana ia boleh membuka ruang tidak memakai pelitup muka, apatah lagi risiko jangkitan sangat tinggi walaupun mereka sudah telah divaksin,” katanya.

Semalam, Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan tidak akan lagi menggunakan jumlah kes harian Covid-19 sebagai penunjuk bagi membolehkan negeri dan wilayah dalam Fasa Dua PPN bergerak ke fasa seterusnya.

Sebaliknya jelas Zafrul, kerajaan akan menggunakan kadar kemasukan ke hospital, sebagai salah satu daripada tiga nilai ambang untuk negeri-negeri dan wilayah, untuk memasuki Fasa Tiga dan Empat.

Jelasnya lagi, dua lagi nilai ambang dalam PPN, iaitu kadar vaksinasi dan kadar penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) akan dikekalkan. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya