Chile ada 47 taman negara, lindungi 200,000 hektar hutan

Chile ada 47 taman negara, lindungi 200,000 hektar hutan

HAMPIR 200,000 hektar kawasan hutan dan pantai di Chile dilindungi dibawah warta taman negara. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUNTA ARENAS: Kerajaan Chile bersedia mewartakan taman negara ke-47 negara itu, sekali gus melindungi hampir 200,000 hektar kawasan hutan dan pesisir pantai Patagonia yang masih terpelihara serta melengkapkan koridor hidupan liar sepanjang 2,800 kilometer hingga ke hujung selatan benua Amerika.

Taman Negara Cape Froward yang dicadangkan itu merangkumi kawasan pantai berangin kencang, lembah berhutan dan ekosistem unik yang kaya dengan biodiversiti, selain menyimpan sejarah penempatan manusia sejak ribuan tahun lalu.

Ahli pemuliharaan terkenal dari Amerika Syarikat, Kristine Tompkins berkata, Cape Froward merupakan antara kawasan paling liar dan tidak terusik yang pernah beliau terokai, serta wajar dipelihara untuk generasi akan datang kerana nilai alam sekitar dan warisan masyarakat peribumi yang tinggi.

Projek berkenaan merupakan taman negara ke-17 yang diwujudkan atau diperluas di Chile dan Argentina hasil usaha Tompkins Conservation dan organisasi penggantinya, Rewilding Chile, yang selama hampir sedekad menyatukan pembelian tanah persendirian dan kawasan milik kerajaan.

Penemuan spesies terancam seperti rusa huemul, memerang sungai huillín dan kehadiran puma liar, selain kawasan paya lumut sphagnum yang menyimpan karbon, mengukuhkan lagi kepentingan kawasan itu dari sudut pemuliharaan alam sekitar.

Pantai Cape Froward turut menempatkan tapak arkeologi masyarakat Kawésqar, komuniti peribumi nomad yang bergantung kepada laut dan hutan, dengan tinggalan seperti perangkap ikan, tulang haiwan dan kesan kehidupan berkanu masih dapat ditemui.

Koordinator pemuliharaan Rewilding Chile di wilayah Magallanes, Benjamín Cáceres berkata, pewartaan taman negara itu penting bagi melindungi ekosistem rapuh serta warisan budaya yang merangkumi sejarah peribumi, penjelajah dan industri perburuan paus.

Walaupun proses rundingan dengan masyarakat peribumi masih perlu diselesaikan sebelum pewartaan rasmi, pihak Kementerian Alam Sekitar Chile menyatakan komitmen memuktamadkan rancangan tersebut, sekali gus menjadikan Cape Froward sebahagian penting dalam usaha jangka panjang melindungi Patagonia Chile.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×