Kadar vaksinasi pantas bolehkan Arab Saudi buka pintu umrah - Utusan Malaysia

Kadar vaksinasi pantas bolehkan Arab Saudi buka pintu umrah

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri menerima kunjungan Mahmoud Hussein di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kadar vaksinasi negara yang merupakan antara terpantas di dunia membolehkan Malaysia disenaraikan antara 49 negara yang diberi kelulusan Arab Saudi bagi tujuan pelancongan termasuk umrah bermula 1 Ogos lalu.

Perkara itu dikongsi Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saed Qattan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kunjungan di sini hari ini.

Zulkifli berkata, walaupun Malaysia mempunyai kes jangkitan positif Covid-19 tinggi, namun kadar vaksinasi yang amat pantas menyebabkan Arab Saudi memberi kepercayaan penuh untuk membuka pintu negaranya kepada Malaysia bagi tujuan pelancongan.

Beliau berkata, ia turut disokong dengan keberkesanan vaksin yang memperlihatkan 98.1 peratus kes hanya di kategori 1 dan 2 serta kadar kesembuhan 81.37 peratus direkodkan di negara ini.

“Ini sekali gus satu penghormatan dan pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Katanya, buat masa ini, Malaysia masih menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung permohonan visa umrah bagi rakyat Malaysia.

Zulkifli berkata, beliau ingin menyeru umat Islam memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah agar wabak Covid-19 segera pulih supaya dapat kembali menziarahi Tanah Suci dalam masa terdekat.

“Hubungan yang erat antara Malaysia dan Arab Saudi akan terus diperkukuh bagi manfaat kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, Zulkifli berkata, sumbangan satu juta dos Astrazeneca dan 4.5 juta unit pelbagai bantuan perubatan daripada Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Muhammad Salman melalui King Salman Humanitarian Aid and Relief Centre (KSRelief) amat dihargai.

“Hanya Allah yang selayaknya mengganjari Khadimul Haramain al-Syarifain, Putera Mahkota dan Kerajaan Arab Saudi atas bakti ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN