PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memulakan tugas sebagai pemimpin nombor satu negara secara rasmi hari ini.
JPM dalam satu kenyataan berkata, Ismail Sabri tiba di Bangunan Putra Perdana pada pukul 8.30 pagi dengan disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Rakon.
Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang.
JPM berkata, Ismail Sabri kemudian diiringi pegawai-pegawai kanan kerajaan dibawa mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya tugas beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Sejurus selesai mengimbas kad perakam waktu, Ismail Sabri dibawa ke Pejabat Perdana Menteri untuk menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.
Ismail Sabri, 61, diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia baharu berkuat kuasa 21 Ogos lalu.










