JKM terima 1,497 panggilan golongan terkesan PKP - Utusan Malaysia

JKM terima 1,497 panggilan golongan terkesan PKP

SAID Sidup (kanan) ketika penyampaian bantuan Bakul Makanan Prihatin Negara di kawasan PKPD Kampung Berlian di Tumpat. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Sebanyak 1,497 panggilan diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan melalui talian ‘Kasih’ melibatkan golongan terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Jun lalu.

Pengarah JKM Kelantan, Said Sidup berkata, rata-rata panggilan telefon kepada JKM tersebut bertujuan memohon mendapatkan bantuan bekalan makanan.

Beliau berkata, majoriti pemanggil merupakan golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap akibat hilang pekerjaan dalam tempoh PKP.

“Selain itu ada juga golongan yang sebelum ini menjalankan perniagaan namun pendapatan mereka terjejas kerana tidak dapat berniaga.

“Kita tidak meletakkan kriteria dari segi pengagihan Bakul Makanan Prihatin Negara, asalkan mereka terkesan dan memerlukan bantuan, kita salurkan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam program penyampaian Bakul Makanan Prihatin Negeri Kelantan di Kampung Berlian yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini hari ini.

Penduduk di kawasan PKPD berkenaan menerima bantuan makanan seperti beras, ayam segar dan sayur-sayuran yang dihantar menggunakan khidmat ‘rider’ yang juga dalam kalangan penduduk setempat.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md. Nawi.

Said berkata, sebanyak 8,200 Bakul Makanan Prihatin Negara diperuntukkan untuk diagihkan kepada pihak terkesan di seluruh negeri ini.

“Setakat ini, kita telah agihkan 6,374 bakul makanan kepada 10 jajahan di negeri ini manakala baki 1,826 lagi akan diagihkan dalam masa terdekat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN