SHAH ALAM: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan waris seorang bayi dan kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan di lokasi berasingan sekitar Petaling Jaya, dekat sini.
Jurucakap JKM Daerah Petaling berkata, bayi perempuan berusia sebulan ditemukan dalam kotak perlindungan bayi di Orphan Care Petaling Jaya pada 19 Julai lalu.
“Bayi tersebut ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri atau barangan.
“Bayi berbangsa Cina itu kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Menurutnya, pegawai JKM turut sudah membawa bayi itu ke Mahkamah Kanak-Kanak Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah penjagaan sementara dan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, jurucakap berkenaan memaklumkan kanak-kanak perempuan iaitu Eclies Eid Damisya, 5, pula ditinggalkan penjaganya dikenali sebagai Dayang Sarina sejak dua tahun lalu.
“Damisya ditinggalkan kepada jagaan pengasuhnya di Petaling Jaya sejak kanak-kanak itu berusia tiga tahun.
“Kita sudah mendapat perintah jagaan sementara untuk membuat siasatan dan mengesan waris,” ujarnya.
Justeru, JKM meminta waris termasuk ibu kandung kedua-dua mereka segera tampil bagi urusan hal penempatan dan penjagaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Pegawai Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling, Asmanizah Ahmad di talian 03-78422584/2587. – UTUSAN ONLINE