Jiwai peristiwa Hijrah - PM - Utusan Malaysia

Jiwai peristiwa Hijrah – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peristiwa Hijrah wajar dijiwai semua yang bukan sekadar mengenang perpindahan Nabi Muhammad SAW secara fizikal, dengan meninggalkan harta dan kediaman semata-mata.

Beliau berkata, saban tahun, peristiwa Hijrah memperteguh tekad untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mengamalkan ajaran Nabi SAW melakukan perubahan sikap dan tindakan kepada sifat-sifat mahmudah dan lebih baik sebagaimana dianjurkan Baginda.

“Saya doakan dengan kedatangan tahun baharu Islam ini, Allah SWT mengurniakan ke atas kita semua khususnya umat Islam keimanan dan kesabaran untuk meneruskan ikhtiar kita menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dilaksanakan pihak kerajaan dengan dokongan saudara dan saudari.

“Saya juga berdoa agar ujian ini berupaya menjadikan kita umat Islam lebih bertakwa dan mempunyai ketahanan jiwa serta asertif diri yang padu,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1443H/2021M di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata,  Majlis sambutan Maal Hijrah adalah cerminan iltizam kerajaan agar syiar Islam terus terpelihara dan dimartabatkan sejajar dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan yang dijunjung tinggi.

Pada masa sama, Perdana Menteri berharap agar seluruh umat Islam dan rakyat bersama-sama menghayati tema sambutan pada tahun ini  iaitu “Manhaj Rabbani Umat Berkualiti” .

Muhyiddin turut menyeru semua rakyat khususnya umat Islam  memperbetulkan niat, tekad dan usaha untuk memperbaiki diri dan amalan dalam kehidupan seharian.

“Ini bersesuaian dengan semangat Hijrah dan mencapai hasrat “Ummah Berkualiti” yang menjadi matlamat kita semua, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN