Jawatan TPM, Bersatu serah sepenuhnya kepada Ismail Sabri

Jawatan TPM, Bersatu serah sepenuhnya kepada Ismail Sabri

MOHD. Redzuan Md. Yusof menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung keperluan melantik Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet baharu kerajaan pimpinannya. 

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata,  Perdana Menteri sudah semestinya mahu membentuk Kabinet beliau sendiri yang dirasakan boleh bekerjasama. 

“Tidak ada gunanya jika Perdana Menteri melantik orang yang hebat sekali pun tetapi tidak boleh bekerjasama, sebab Kabinet nanti tidak boleh berfungsi seperti sepatutnya. 

“Jadi itu (lantikan TPM) terpulanglah kepada PM,” katanya. 

Mohd. Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata demikian ketika ditanya berkenaan keperluan untuk Timbalan Perdana Menteri dilantik dalam barisan Kabinet kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri atau memadai dilantik menteri-menteri kanan seperti sebelum ini. 

Ketika ini, dua pemimpin daripada Bersatu disebut-sebut bakal menduduki jawatan TPM iaitua Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan seorang lagi Ahli MPT, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Kedua-dua pemimpin itu dikatakan calon utama Bersatu bagi mengisi jawatan nombor dua negara berkenaan sekali gus meredakan sebarang ancaman penarikan sokongan terhadap Ismail Sabri. 

Malah, kedua-dua pemimpin itu juga dipercayai sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Mohd. Redzuan bersama barisan kepimpinan Bersatu Pulau Pinang menyampaikan bantuan termasuk wang tunai kepada 100 penduduk di beberapa kampung di sini yang terjejas akibat banjir kilat baru-baru ini. 

Dalam pada itu, ditanya berkenaan peluangnya sebagai menteri dalam barisan Kabinet baharu, Mohd. Redzuan berkata, beliau berharap dipilih sekali lagi sebagai menteri kerana masih mempunyai urusan yang belum diselesaikan terutama berkaitan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. 

Jelasnya, beliau masih mahu menyelesaikan isu seperti menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat serta dasar pembangunan kepada bumiputera serta kaum-kaum lain. 

“Pilihan raya umum akan datang juga tidak terlalu jauh, maka kerajaan baharu hari ini adalah sangat penting. 

“Saya tidak rasa kita boleh adakan dasar baharu, jika ada pun, mungkin hanya penambahbaikan terhadap kelemahan sebelum ini untuk kebaikan semua kaum, jadi kita perlu tolak perbezaan politik antara kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN