Jangan politik tindakan tutup Parlimen - Pas - Utusan Malaysia

Jangan politik tindakan tutup Parlimen – Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lajnah Kesihatan Pas menyifatkan tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan sidang Parlimen adalah satu kebetulan dan tindakan itu tidak perlu dipolitikkan oleh pendirian parti politik masing-masing.

Pengerusinya, Prof. Madya Dr. Mohd Mazri Yahya berkata, masyarakat diingatkan untuk tidak meremehkan perhatian yang diambil oleh KKM.

“Apabila KKM melaporkan adanya varian Delta di dalam negara dan kemungkinan di Parlimen, maka kami percaya ia adalah kebetulan dan bakal mengakibatkan kita semua sekiranya kita bersikap sambil lewa.

“Janganlah disebabkan pendirian politik, kita meremehkan perhatian berat KKM. Ingat, varian Delta adalah lebih ganas dan lebih cepat merebak.

“Maka, patuhilah prosuder operasi standard (SOP), ikutlah nasihat KKM dan semoga kita semua terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan mencadangkan semua sesi mesyuarat termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas Parlimen serta pembentangan yang dirancang di Parlimen ditangguhkan sementara waktu untuk tempoh dua minggu bermula Khamis lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, cadangan itu susulan hasil penilaian risiko dengan mengambil kira faktor epidemiologi dan persekitaran, didapati sidang Parlimen merupakan satu perhimpunan yang berisiko tinggi walaupun jumlah kes positif yang dikesan semasa sidang lalu adalah 0.8 peratus.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang juga dilihat berkumpul di Dataran Merdeka hari ini setelah mereka tidak dibenarkan memasuki Bangunan Parlimen, meskipun Sidang Khas Dewan Rakyat ditangguhkan.

Menurut Dr. Mazri, apabila pandemik Covid-19 menular, KKM yang bertungkus lumus menyedarkan masyarakat berkenaan keseriusan pandemik tersebut yang sehingga kini melibatkan lebih satu juta rakyat dan 4000 kematian.

“Apabila masyarakat mempertikai peranan vaksinasi, KKM yang menyedarkan masyarakat akan keperluannya dan sehingga kini hampir 70 peratus masyarakat dewasa sudah mendaftar.

“Apabila sebahagian ahli masyarakat menyebarkan maklumat palsu berkenaan penyumbatan saluran darah atau teori konspirasi akibat vaksin, KKM yang membetulkan maklumat salah tersebut dan sehingga kini ia diterima oleh semua melainkan golongan antivaksin,” katanya.

Tambah beliau, KKM juga melipat gandakan usaha vaksinasi melebihi 80 peratus di Labuan sehingga membolehkan kes mendadak turun.

“Apabila kes tidak terkawal di Lembah Klang, Operasi Lonjak dilaksanakan di Lembah Klang untuk mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus dalam minggu pertama bulan Ogos, maka kita percaya kes akan menurun dalam dua minggu selepas itu iaitu di akhir Ogos,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya