GEORGETOWN: Ivory Properties Group Berhad (Ivory) dan ECK Development Sdn. Bhd. (ECK) akan bekerjasama membangunkan unit kediaman di AirportCity Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dicadangkan di Sidam Kiri, Kuala Muda, Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ivory, Datuk Low Eng Hock berkata, kumpulan berkenaan berbesar hati kerana berpeluang menyumbang kepakaran serta pengalaman dalam membangunan AirportCity KXP itu.
Tambah beliau, pihaknya berharap penglibatan dalam projek itu dapat menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan secara berterusan bagi kumpulan tersebut dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Kami yakin penglibatan kumpulan kami akan dapat mewujudkan kediaman dengan seni bina canggih yang menarik dan komersial di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan KXP yang merupakan sebuah projek mega di kawasan utara akan dibangunkan di kawasan seluas 3,965 hektar di Kulim.
Pembangunan unit-unit kediaman diAirportCity KXP meliputi kawasan seluas kira-kira 54 hektar dengan anggaran minimum Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM2 bilion.
Eng Hock berkata, pihaknya juga berhasrat mengubah kawasan itu menjadi kawasan bandar abad ke-21 sekali gus meningkatkan kualiti hidup orang ramai di sekitarnya.
“Usahasama antara Ivory dan ECK menandakan kumpulan kami terus bergerak maju dan menjadi sebahagian daripada projek yang menarik dan bermakna.
“Ia juga menjadi petanda bahawa kami berjaya mengembangkan jenama kami ke seluruh negara,” katanya.