Isu suami lafaz talak jika isteri ambil vaksin: Rujuk mufti - Utusan Malaysia

Isu suami lafaz talak jika isteri ambil vaksin: Rujuk mufti

IDRIS Ahmad (tengah) melihat sumbangan daging lembu yang diberikan badan korporat untuk diserahkan kepada kariah terjejas di sekitar Putrajaya. - UTUSAN/MOHD. HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Sah atau tidak, itu kena tanya mufti. Ia bukan di bawah bidang kuasa saya,” itu jawapan ringkas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berhubung isu tular tindakan suami menjatuhkan talak kepada isteri kerana mengambil vaksin Covid-19.

Idris berkata, soal ‘jatuh’ atau tidak lafaz talak itu perlu dirujuk kepada orang yang tepat iaitu mufti.

Pada masa sama, Idris berkata, umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya mempelajari agama dengan guru yang betul.

“Banyak guru yang betul kita tidak ikut. Ada yang belajar agama menerusi ‘google’, boleh tengok, tapi ia hanya pengukuhan bukan sebagai satu perkara untuk dapat segalanya.

“Sebab itu, ulama ada menyebut. Kalau belajar agama tiada guru, guru dia adalah syaitan,” katanya.

Terdahulu, Idris ditemui pemberita pada majlis sumbangan daging lembu dan Dapur It’am Merdeka di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di sini hari ini.

Baru-baru ini, seorang peguam syarie di laman Twitter berkongsikan kisah mengenai seorang isteri yang telah mengambil dos pertama vaksin Covid-19 secara ‘senyap-senyap’.

Menurut peguam dikenali sebagai @wafda_k, suami wanita itu tidak mahu mengambil vaksin berkenaan dan kebetulan mereka merupakan pasangan jarak jauh.

Difahamkan, si isteri dalam dilema apabila ketika berborak dengan suaminya mengenai vaksin, si suami berkata jangan ambil vaksin dan jika ambil juga maka, jatuh talak.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember tahun lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN