PUTRAJAYA: Kerajaan mengharapkan rakyat yang lengkap vaksinasi Covid-19 berasa lega khususnya di negeri berstatus Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini melibatkan soal kesihatan mental selepas terpaksa berada dalam situasi ketat agak lama.
“Mereka selama ini hidup dalam keadaan banyak sekatan akibat impak pandemik dalam tempoh panjang dan inilah salah satu sebab kerajaan membenarkan kemudahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk pengumuman khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berhubung kelonggaran untuk penerima dua dos Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, antaranya, kebenaran pasangan jarak jauh merentas negeri dan solat berjemaah di masjid, manakala negeri di bawah Fasa 2 dan 3 pula boleh melancong, makan di kedai dan bersukan.
Kelonggaran berkaitan pergerakan dan kuarantin, kemudahan keagamaan dan aktiviti sosial tersebut akan bermula esok dalam usaha menggalakkan rakyat segera menerima vaksinasi.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, keputusan itu dibuat secara berhati-hati dengan juga mengambil kira manfaat diterima 3.97 juta individu lengkap dua dos di negeri Fasa 2 dan 3.
“Kerajaan juga akan menilai maklum balas daripada semua pihak yang berkepentingan dalam sektor kesihatan, ekonomi dan sosial selain sedar kebimbangan isu varian baharu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE