PASIR SALAK: Lapan keluarga di Taman Changkat Lada Raya di sini, hidup dalam kebimbangan apabila rumah mereka mengalami kerosakan terutama pada bahagian dinding yang retak akibat mendapan tanah.
Penduduk mendakwa, mungkin wujud lubang di tanah tapak rumah lantas menyebabkan tanah semakin mendap.
Suhaili Mohd. Sukri, 39, berkata, masalah itu berlaku sejak tiga tahun lalu dan keadaan semakin teruk apabila banyak keretakan dikesan pada bahagian kediaman.
Katanya, mereka sudah tinggal di situ sejak 15 tahun lalu dan situasi ini menyebabkan perasaan tidak selamat.
“Kami bimbang kerana keretakan semakin banyak dan kian besar. Keretakan melibatkan bahagian dinding, ruang tamu, dapur dan pintu pagar. Bahagian lantai dan longkang juga mengalami kerosakan. Ini membimbangkan kami untuk terus tinggal di sini.
“Kami harap pihak yang berkenaan dapat membantu kami supaya rumah kami tidak terus mengalami kerosakan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Seorang lagi penduduk, Adnan Mohamad Nor, 61, berkata, rumahnya mengalami mendapan pada tiang dan lantai yang menyebabkan kedua-dua struktur itu retak.
“Sebelum ini saya pernah mengupah orang untuk memperbaiki kerosakan yang dialami tetapi setelah kerja baik pulih siap, tak lama kemudian bahagian yang sama rosak semula.
“Ia berlaku disebabkan tanah mendap, bermakna mungkin wujud lubang bawah tanah. Kalau lubang tersebut tidak ditambak, selagi itulah tanah akan mendap dan rumah akan terus rosak.
“Kerosakan rumah yang semakin teruk membimbangkan kami. Pelbagai kemungkinan yang kami fikirkan termasuk rumah boleh runtuh jika tanah mendap tidak diatasi dengan kaedah sepatutnya,” katanya. – UTUSAN











