AS umum sekatan terhadap Presiden Cuba

AS umum sekatan terhadap Presiden Cuba

MIGUEL DIAZ-CANEL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan sekatan pertamanya terhadap Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, susulan peranannya dalam kekejaman kerajaan ke atas rakyat negara itu.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio sempena ulang tahun keempat protes besar-besaran antikerajaan pada Julai 2021.

Beliau dalam hantaran di platform X kelmarin berkata, AS turut menyekat visa Diaz-Canel serta beberapa pegawai kanan kerajaan Cuba lain.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada siri tindakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump untuk meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Cuba.

Protes yang berlaku empat tahun lalu menyaksikan ribuan rakyat turun ke jalanan bagi membantah kekurangan barangan asas dan kemerosotan ekonomi.

Jabatan Negara AS berkata, pihaknya mengenakan sekatan terhadap pemimpin utama rejim berikutan penglibatan mereka dalam pelanggaran serius hak asasi manusia.

Antara pegawai yang dikenakan sekatan termasuk Menteri Pertahanan, Alvaro Lopez Miera dan Menteri Dalam Negeri, Lazaro Alberto Alvarez Casas.

AS juga sedang mengambil langkah untuk mengenakan sekatan ke atas pegawai kehakiman dan penjara Cuba yang terlibat dalam penahanan tidak adil serta penyeksaan terhadap penunjuk perasaan.

“Ketika rakyat Cuba berdepan kekurangan makanan, air, ubat-ubatan dan elektrik, rejim mereka pula berbelanja mewah untuk orang dalam,” kata Rubio.

Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez, mengecam langkah tersebut dan menyifatkan AS tidak mampu mematahkan kehendak rakyat atau pemimpinnya.

Mei lalu, Kementerian Luar Cuba memanggil wakil AS di Havana bagi membantah campur tangan Washington dalam urusan dalaman negara itu.

AS turut mengenakan sekatan perdagangan terhadap Cuba selama lebih enam dekad.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN