PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Aming Salleh Abdullah yang meninggal selepas mengalami sesak nafas, kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.
Perdana Menteri menyifatkan Allahyarham adalah seorang anak yang sangat baik dan bijaksana.
“Saya pernah membuat hantaran di media sosial berkenaan pesanan yang baik-baik yang disampaikan oleh Allahyarham adik Aming pada 23 Januari 2021.
“Ternyata Allahyarham adik Aming seorang anak yang sangat baik dan bijaksana. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah untuk Allahyarham adik Aming yang kita sayangi.
“Takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham adik Aming. Semoga tabah menghadapi ujian ini,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Muhammad Aming atau lebih dikenali sebagai Aming merupakan kanak-kanak yang pernah tular dalam media sosial menerusi videonya apabila dia petah berkata-kata sambil memberi nasihat.
Muhammad Aming, 8, meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas kira-kira pukul 1.30 pagi di kediamannya di Tawau, Sabah hari ini.
Kisah-kisah Allahyarham menjadi perhatian apabila video-video yang dirakamnya banyak berunsur nasihat termasuk situasi terkini berkaitan pandemik Covid-19.
Salah satu videonya turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri ketika beliau menjadi Menteri Kanan (Keselamatan).
Video berunsur nasihat supaya orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) memakai pelitup muka dimuat naik melalui Facebook miliknya pada 27 Oktober 2020 diulang siar dan tular dalam media sosial. – UTUSAN ONLINE