PUTRAJAYA: Dalam dua hari ini, karakter Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelihatan disenangi petugas media.
Walaupun diiringi ketat pengawal peribadi dan pegawai-pegawai pengiring, namun beliau berkesempatan menyapa para wartawan dan jurugambar yang ‘berkampung’ di luar lokasi rasmi bagi mendapatkan liputan menyeluruh.
Situasi awal dilihat ketika Ismail Sabri selesai istiadat mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara kelmarin.
Sebaik sahaja tiba di kawasan kediamannya, beliau sempat menurunkan cermin dan memberikan sedikit reaksi berhubung pelantikannya kepada sekumpulan wartawan yang menunggu sejak awal pagi.
Reaksi sama turut diberikan setiap kali kenderaan beliau melalui petugas media termasuk di luar Kompleks Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam ketika beliau memasuki pejabat Perdana Menteri untuk persediaan rakaman ucapan sulungnya.
Begitu juga pada pagi ini apabila tiba di kompleks pentadbiran kerajaan itu bagi memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri.
Walaupun ketika ketibaannya hanya sempat menurunkan cermin dan melambaikan tangan kepada petugas media, reaksi itu mampu memberikan kegembiraan sebagai satu penghargaan dan penghormatan kepada media.
Walaupun hanya sempat menjawab: “Ya, saya akan ke Kedah”, sebelum meninggalkan pekarangan Pejabat Perdana Menteri, sepatah jawapan itu sudah cukup memberikan ‘story’ kepada media.
Ia disokong pula dengan bantuan pegawai-pegawai media beliau yang amat membantu memudahkan kerja media dengan memberikan maklumat-maklumat awal berhubung pergerakan Perdana Menteri, selain menyediakan segala info dalam waktu yang mencukupi.










