Ingkar SOP PPN: 190 dicekup, 33 premis diarah tutup - Utusan Malaysia

Ingkar SOP PPN: 190 dicekup, 33 premis diarah tutup

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 190 dicekup dengan 173 daripadanya dikompaun manakala 17 lagi direman hasil pemantauan membabitkan 79,061 pemeriksaan oleh Task Force Operasi Pematuhan.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah 33 premis yang meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan juga diarahkan tutup oleh pasukan itu di seluruh negara semalam kerana didapati masih ingkar SOP.

“Pasukan Task Force Operasi Pematuhan melakukan pemeriksaan ke atas 1,617 kilang, 17,376 premis perniagaan, 501 tapak pembinaan dan 245 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dua pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan lima buah kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng selain 918 sekatan jalan raya dijalankan di seluruh negara.

Menyentuh kuarantin wajib, katanya, 718 individu tiba di tanah air semalam, dengan jumlah kumulatif seramai 267,398 sudah diarahkan menjalani proses mandatori itu sejak 24 Julai tahun lalu.

“Sejumlah 10,329 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 83 hotel serta 11 institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” jelasnya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 10 jenis bekalan barangan di 842 peruncit, 129 pemborong dan 33 pengilang termasuk melakukan sejumlah 2,379 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan kesemua premis yang terbabit didapati mematuhi peraturan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN