Ibadah umrah dilaksanakan tahun ini - Utusan Malaysia

Ibadah umrah dilaksanakan tahun ini

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (dua kanan) semasa melawat Maahad Darul Quran (MDQ) di Rusila, Marang. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Impian umat Islam di negara ini untuk mengunjungi Tanah Suci Mekah dan Madinah bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi apabila ibadah umrah dijangka dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sekiranya tiada sebarang halangan perkara itu berkemungkinan dapat direalisasikan dalam tempoh dua bulan lagi.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dalam negara di samping kebenaran kerajaan Arab Saudi.

“Saya yakin dalam sebulan dua lagi (umrah boleh dilaksanakan) cuma biasanya kalau kes Covid-19 tinggi tentunya susah nak pergi tetapi kita akan mengikut arahan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan di Maahad Darul Quran (MDQ) di Rusila di sini hari ini.

Semalam, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saed Qattan memaklumkan kadar vaksinasi negara yang merupakan antara terpantas di dunia membolehkan Malaysia disenaraikan antara 49 negara yang diberi kelulusan negara itu bagi tujuan pelancongan termasuk umrah bermula 1 Ogos lalu.

Bagaimanapun buat masa ini, Malaysia masih menunggu kenyataan rasmi daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berhubung permohonan visa umrah bagi rakyat Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN