PUTRAJAYA: Hospital kerajaan memindahkan 1,592 pesakit bukan Covid-19 untuk dirawat di beberapa hospital swasta sekitar Lembah Klang sejak 10 Ogos lalu.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, ia sekali gus dapat mengurangkan beban di wad-wad hospital kerajaan yang pada masa ini menumpukan kes-kes rawatan Covid-19 dan terbukti apabila jumlah pesakit menunggu di jabatan kecemasan menunjukkan penurunan.
Menurut beliau, usaha berkenaan hasil usahasama Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Keong dalam penyumberluaran pesakit ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan bersesuaian mengikut kos yang ditentukan Kementerian Kesihatan dengan potongan tambahan disediakan semua hospital swasta sebagai satu bentuk perkhidmatan demi negara.
“Pada masa ini, fokus penyumberluaran ini ditumpukan di Johor selepas kejayaan di Lembah Klang dan kesemua hospital swasta utama di negeri itu dan Nusajaya bersedia menerima pesakit dari hospital kerajaan memandangkan jumlah kes positif semakin meningkat di sana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bagaimanapun, pesakit-pesakit Covid-19 yang kini sedang dirawat di beberapa hospital swasta di Lembah Klang mula berkurangan, namun mereka yang memerlukan bantuan pernafasan di unit rawatan rapi (ICU) masih tinggi.
Katanya, kemasukan lebih ramai pesakit Covid 19 dalam Kategori 4 dan 5 masih menjadi cabaran di kebanyakan hospital swasta kerana kebanyakan pesakit masih belum cukup pulih dalam ICU yang terhad.
“Vaksinasi kemungkinan besar membuktikan keberkesanannya berdasarkan sedikit penurunan semasa kemasukan pesakit Covid-19 baik di hospital awam mahupun swasta. Kami berharap lebih banyak individu diberikan vaksin dalam beberapa bulan akan datang termasuk mereka yang berada di luar Lembah Klang.
“Walau bagaimanapun, semua hospital swasta akan tetap waspada kerana wabak ini masih belum dapat diatasi sepenuhnya dengan kemungkinan varian baharu perlu diawasi teliti,” katanya. – UTUSAN










