Hishammuddin kemuka 3 strategi kekang agihan vaksin tidak adil - Utusan Malaysia

Hishammuddin kemuka 3 strategi kekang agihan vaksin tidak adil

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tampil menggariskan tiga strategi bagi mengekang isu ketidakadilan pengagihan vaksin Covid-19.

Ketika berucap pada Mesyuarat Pertama Forum Kerjasama Vaksin Antarabangsa secara maya hari ini, beliau menyuarakan kebimbangan jurang perolehan bekalan yang agak ketara.

“Keadaan itu mengakibatkan banyak negara membangun tidak dapat melaksanakan program imunisasi ke atas rakyatnya, malah ada tidak cukup bekalan untuk dos pertama,” katanya.

Forum julung kali anjuran Kementerian Luar China itu dipengerusikan Menteri Luarnya, Wan Yi dengan fokus perbincangan kepada usaha peningkatan kapasiti dan teknologi vaksin.

Acara berkenaan turut disertai oleh sejumlah 30 peserta yang melibatkan menteri luar pelbagai negara selain badan antarabangsa serta wakil khas dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, antara strategi itu ialah mengetepikan sementara paten hak cipta harta intelektual terhadap vaksin bagi meningkatkan pengeluaran sejagat.

“Prinsip ini berdasarkan kepentingan bahawa setiap negara sepatutnya berhak menikmati hak saksama bagi menghasilkan vaksin sendiri ketika penularan serius pandemik,” jelasnya.

Sementara strategi kedua ialah pengharmonian pensijilan imunisasi yang seragam terutama vaksin diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memudah cara agensi kawal selia.

Langkah itu katanya, bakal melancarkan urusan rentas negara untuk pelancongan, perniagaan dan kemanusiaan serta pemulihan ekonomi pasca Covid-19 tanpa kekangan birokrasi.

Tambahnya, strategi ketiga iaitu pengekangan maklumat tidak tepat yang disebarkan pihak tertentu sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat tanpa tapisan.

Hishammuddin menegaskan, virus kali ini yang sudah bermutasi kepada pelbagai varian, sepatutnya ditangani secara bersama semua negara kerana ia tidak pun mengenal sesiapa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN