‘Hidup kami semakin terhimpit’ - Keluhan peniaga pasar malam

‘Hidup kami semakin terhimpit’

PARA peniaga pasar malam yang terjejas akibat PKP menerima sumbangan disampaikan Nik Faiz Nik Amin secara pandu lalu di Taman Kemahkotaan, Tumpat, Kelantan, semalam. - FOTO/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Kehidupan ratusan peniaga pasar malam di negeri ini benar-benar terhimpit selepas tidak dibenarkan berniaga selama lebih enam bulan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Demi kelangsungan hidup diri dan keluarga masing-masing, kebanyakan mereka sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan halal termasuk menjadi rider atau penghantar makanan, pemandu lori serta kerja-kerja kampung.

Mengakui perkara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Pantai Geting, Mazlan Ibrahim berkata, tekanan semakin dirasai apabila berdepan hutang-piutang, termasuk gagal menjelaskan pelbagai komitmen sehingga tertunggak berbulan-bulan.

“Hidup kami semakin terhimpit. Ramai dalam kalangan peniaga pasar malam terpaksa gulung tikar dan buat kerja lain untuk menampung kehidupan mereka.

“Adalah menjadi harapan kami supaya kerajaan baharu kelak mencari penyelesaian kepada masalah ini termasuk membenarkan kami beroperasi dengan cara pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat,” katanya.

Mazlan ditemui Utusan Malaysia ketika menghadiri program penyampaian bantuan kepada peniaga pasar malam yang dibuat menggunakan kaedah pandu lalu di Taman Kemahkotaan Bandar Tumpat, di sini hari ini.

Sebanyak 100 peniaga pasar malam menerima bantuan berupa makanan asas termasuk beras, gula dan minyak masak yang diagihkan oleh Pengerusi Pertubuhan Kraf Malaysia, Nik Faiz Nik Amin dengan kerjasama Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK).

Sementara itu, Zuraini Mat Shood, 37, yang sebelum ini berniaga ayam goreng di pasar malam berkata, kerana terdesak mahu mencari wang bagi menyara keluarga, dia nekad untuk berniaga di hadapan rumah di Kampung Talak, di sini.

“Sebelum ini saya berniaga di pasar malam sekitar Tumpat dan Pasir Mas, namun sejak PKP dilaksanakan, kami langsung tidak dibenarkan beroperasi.

“Pendapatan saya berniaga di depan rumah tidak seberapa. Kalau berniaga di pasar malam, kira-kira 10 ekor ayam sehari habis terjual, sekarang hanya seekor ayam sehari kerana pelanggan terdiri daripada jiran-jiran sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN