KUALA TERENGGANU: Hasil siasatan kerosakan paip Tangki Berangan di dasar Sungai Terengganu di sini akan dikemukakan kepada kerajaan negeri pertengahan bulan depan.
Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak merangkap pengerusi jawatankuasa itu berkata, buat masa ini pihaknya masih dalam proses mengumpul maklumat daripada pelbagai jabatan dan agensi terlibat.
Katanya, siasatan berkenaan merangkumi semua aspek termasuk dakwaan kononnya ia berpunca akibat aktiviti mengorek pasir.
“Kita ada tempoh hingga pertengahan September untuk mengumpul data sebelum dibentangkan dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Program Kibaran Jalur Gemilang di jambatan angkat (drawbridge) di sini, hari ini.
Sementara itu, Tun Ahmad Faisal turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang memiliki maklumat untuk membantu siasatan.










