'Hanya dua pelanggan makan di kedai hari ini' - Utusan Malaysia

‘Hanya dua pelanggan makan di kedai hari ini’

KEDAI nasi lemak milik Mariani Ismail yang cuma disinggahi dua orang pelanggan sahaja di Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: ‘Hanya dua pelanggan yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 makan di kedai hari ini’, begitu luahan peniaga nasi lemak, Mariani Ismail, 53, di Felda Kota Gelanggi Dua di sini.

Bercakap kepada Utusan Online, Mariani berkata, dia tidaklah kecewa dan tertekan dengan suasana berkenaan kerana pelanggan masih lagi berwaspada dengan ancaman pandemik Covid-19.

“Sebenarnya, saya masih lagi peringkat percubaan berniaga setelah mendapat tahu kebenaran ‘dine-in’ mulai semalam diikuti dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Tetapi, hanya dua pelanggan yang masuk ke kedai hari ini dan mereka sudahpun lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 ,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini hari ini.

Selanjutnya, kata Mariani, pelanggan yang cakna dengan penularan wabak berbahaya itu hanya singgah berbelanja makanan secara bungkus.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata, buat masa ini, dia lebih gemar pelanggan membeli secara bungkus kerana lebih selamat berbanding ‘dine’in’ yang sehingga masih ini belum jelas untuk dipratikkan ketika negara masih berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19 termasuk varian baharu Delta.

Sementara itu, peniaga tomyam di Felda Kota Gelanggi Empat, Nor Azam Mohamed, 30, berkata, dia masih tidak memberi peluang pelanggan ‘dine-in’ kerana bimbang penularan wabak Covid-19 lebih lagi mendengar ada varian baharu seperti Delta.

“Saya lebih suka berniaga makanan secara dalam talian dan kaedah bungkus kerana ada sedikit jaminan untuk mengelakkan jangkitan berkenaan.

“Walaupun pelanggan datang berbelanja secara bungkus, tetapi saya tetap memantau pematuhan SOP, peraturan keselamatan dan etika kebersihan sepanjang berada di hadapan premis,” katanya.

Selanjutnya Nor Azam berharap kerajaan mengemukakan SOP yang lebih sempurna dan ketat serta syarat lain termasuk hanya peniaga dan pelanggan yang telah disuntik dua dos lengkap vaksin Covid-19 boleh beroperasi di premis masing-masing bagi mengelakkan penularan wabak itu.

Sementara itu, tinjauan Utusan Online di bandar Jerantut hari ini mendapati dua buah restoran mamak masih ditutup, manakala premis makanan milik pengusaha Melayu hanya menawarkan jualan secara bungkus dan dibawa pulang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN