KANGAR: Perlis dijangka menerima Menteri Besar baharu selepas Mohd. Shukri Ramli susulan lapan daripada 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) menarik sokongan terhadap beliau.
Kesemua ADUN terlibat didakwa telah menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar.
Mereka yang menyerahkan SD berkenaan didakwa lima ADUN Bersatu dan tiga daripada Pas sekali gus menyaksikan Mohd. Shukri kini hanya mempunyai dua pilihan sama ada meletak jawatan atau mencadangkan kepada Raja Perlis agar Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Difahamkan, Bersatu mengemukakan tiga nama sebagai calon Menteri Besar iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi) manakala Pas masih belum memberi nama calon daripada parti itu.
Ketika ini, pihak media masih belum boleh mendapatkan respons Mohd. Shukri kerana beliau masih dirawat di hospital di ibu negara selepas mengadu sakit dada.
Manakala ADUN PN termasuk tiga dari Pas yang didakwa menyerahkan SD menarik sokongan itu tidak menjawab panggilan ketika dihubungi.
Seorang Exco Pas ketika dihubungi pula enggan mengulas lanjut sebaliknya meminta wartawan mendapat respons tiga ADUN Pas tersebut yang menandatangani SD penolakan sokongan.
Tiga ADUN Pas yang menantandatangani SD penolakan sokongan tersebut ialah Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji); Saad Seman (Chuping) dan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong).
Jumaat lalu, Pesuruhjaya Pas negeri, Ahmad Ali mengingatkan kepemimpinan dan seluruh ahli parti menyokong pentadbiran Mohd. Shukri sebagai Menteri Besar sekali gus menarik perhatian ramai kerana ia hadir secara tiba-tiba.
Sumber daripada PN memberitahu Utusan Malaysia, pertemuan dengan Raja Perlis bagi menyerahkan SD menarik sokongan tersebut berlaku pada Jumaat lalu.
Sumber itu memberitahu, sembilan termasuk seorang ADUN pembangkang hadir pada pertemuan dengan Raja Perlis manakala beberapa lagi ADUN Pas tidak hadir.
“Ketika ini, Mohd. Shukri sudah tidak mempunyai pilihan selain meletak jawatan secara baik selepas hilang sokongan seterusnya membolehkan proses pelantikan Menteri Besar baharu berjalan lancar demi kesinambungan pentadbiran kerajaan PN Perlis,” katanya.
Mohd. Shukri sebelum ini gagal menempatkan diri dalam barisan kepemimpinan baharu badan perhubungan Pas negeri dan beliau juga kalah dalam pemilihan jawatan Yang Dipertua Pas kawasan Arau selain gagal menempatkan diri dalam barisan jawatankuasa Pas pusat sebelum dilantik mengisi jawatan berkenaan.
Malah beliau yang sebelum ini memegang jawatan Pesuruhjaya Pas negeri turut diganti dengan Ahmad manakala jawatan Pengerusi PN negeri pula diganti oleh Datuk Seri Shahidan Kassim seterusnya menyaksikan dalam kepemimpinan parti sama ada di peringkat negeri dan kawasan, Mohd. Shukri tidak memegang sebarang jawatan termasuk di dalam PN.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PN menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN iaitu sembilan Pas dan lima Bersatu sekali gus berjaya menguasai kerajaan negeri buat pertama kali dalam sejarah.
Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Noor Amin Ahmad menegaskan, gabungan tersebut akan terus memantau perkembangan semasa itu dan bersedia sepenuhnya berdepan PRN jika berlaku pembubaran DUN dalam masa terdekat.
“Melalui pengalaman mentadbir, kerjasama kukuh bersama parti-parti kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan negeri serta komitmen terhadap tadbir urus yang telus, stabil dan berfokuskan rakyat, PH Perlis bersedia menawarkan kepimpinan baharu untuk negeri ini.
“Kami yakin rakyat Perlis mahukan sebuah kerajaan negeri yang matang, stabil, berwibawa dan benar-benar bekerja untuk rakyat bukan kerajaan yang sentiasa berpolitik dan bergolak sesama sendiri,” katanya di sini semalam.
Noor Amin yang juga Pengerusi PKR negeri berkata, pihaknya memandang serius pergolakan politik yang sedang melanda negeri ini kerana ia bukan sekadar krisis dalaman parti pemerintah, tetapi telah mula memberi kesan besar kepada kestabilan pentadbiran negeri, keharmonian institusi Raja Berperlembagaan serta kesejahteraan rakyat Perlis keseluruhannya.
Katanya, daripada sudut Perlembagaan, penarikan sokongan dan percaturan politik yang tidak matang ini berpotensi mengheret Raja Perlis ke dalam krisis yang sepatutnya diselesaikan secara berhemah di peringkat dalaman PN.
“Institusi Diraja wajib dihormati dan tidak seharusnya dijadikan jalan keluar kepada kegagalan kepimpinan politik. Daripada sudut tatacara politik dan keupayaan mentadbir, meskipun PN memenangi PRU15 di Perlis, hakikatnya mereka gagal membuktikan bahawa pentadbiran yang dibentuk benar-benar menepati slogan bersih dan stabil.
“Dengan kelebihan hampir mutlak di DUN, PN seharusnya memberi fokus kepada pembangunan negeri dan kebajikan rakyat. Namun yang berlaku ialah politik berterusan, konflik dalaman dan kegagalan menyelesaikan masalah asas rakyat,” katanya. – UTUSAN










