KOTA BHARU: Majikan di negeri ini, terutama pengusaha kedai makan diseru mengambil inisiatif menghantar senarai nama pekerja kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempercepat proses vaksinasi terhadap mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, golongan peniaga dan kakitangan mereka perlu segera divaksin kerana mempunyai kontak dengan orang ramai.
“Semua majikan terutama pengusaha kedai makan perlu mengambil langkah segera menghantar senarai nama pekerja untuk mendapatkan suntikan secepat mungkin.
“Mereka boleh menghantar senarai nama terus kepada pihak outreach sekiranya belum memperoleh keputusan melalui My Sejahtera. Mereka boleh juga hantar kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Semarak Kemerdekaan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijang di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Istiqamah, Badang di sini hari ini.
Dr. Izani berkata, di samping itu, golongan penjaja juga antara mereka yang perlu disuntik dengan dua dos lengkap seawal mungkin sebelum mereka menjalankan perniagaan bagi mengelak jangkitan wabak covid menular.
“Kita nasihatkan rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan dengan suntikan vaksin ini boleh menyelamatkan nyawa.
“Kadar kematian dan kemasukan pesakit yang dimasukkan ke wad semakin menurun dan majoriti yang dijangkiti Covid-19 dan mengalami jangkitan tahap 4 adalah terlalu kecil jika sudah divaksin berbanding risiko terhadap mereka yang tidak divaksin,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE