KUANTAN: Hampir keseluruhan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seramai 132,885 orang melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu boleh dianggap 100 peratus kerana tidak semua warga tentera berada dalam kem kerana bertugas dan berkursus di luar negara.
“Mereka ini belum pulang untuk divaksin, jadi secara keseluruhnnya boleh dianggap semua anggota tentera yang berada di dalam kem di seluruh negara telah pun lengkap dua dos suntikan vaksin.
“Sekarang ini, kita (ATM) dalam proses menvaksin keluarga mereka (anggota tentera),” katanya dalam sidang akhbar Eksesais Taming Sari 20/21 di Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, di sini hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany.
Eksesais terbesar itu membabitkan 1,080 warga TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Ketumbukan eksesais itu terdiri daripada sembilan buah kapal, lima buah Fast Combat Boat (FCB), sebuah kapal selam, dua Super Lynx TLDM, empat pesawat TUDM dan dua aset Maritim Malaysia.
Objektif Eksesais Taming Sari adalah untuk mewujudkan suasana peperangan maritim yang sebenar dalam aspek perancangan dan pelaksanaan di samping meningkatkan kesiagaan aset-aset TLDM.
Eksesais selama enam hari bermula Isnin lalu itu juga bertujuan menguji keupayaan peralatan untuk mengesan, menjejak dan sistem pelancar misil bagi kapal dan kapal selam TLDM.
Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, keutamaan diberikan kepada anggota tentera untuk suntikan vaksin berkenaan kerana mereka merupakan petugas barisan hadapan negara.
“Pernah suatu ketika dulu sebelum ada vaksin ini, kapal kita KD Mahawangsa terdapat jangkitan Covid-19 membabitkan anggota bertugas di kapal itu, keseluruhan anggota di situ tidak dapat digerakkan termasuk kapal pun tidak dapat digerakkan, terpaksa terhenti pergerakan mereka selama dua minggu.
“Jadi kesan kepada negara besar, kalaulah berlaku apa-apa kejadian sewaktu kapal tidak boleh digerakkan dengan anggotanya sekali sebab itu rakyat kalau saya sebut anggota tentera sudah dikira lengkap vaksin, itulah tujuannya kerana mereka petugas barisan hadapan negara,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE