‘Guru patut jadi contoh, ambil vaksin’ - Sultan Johor - Utusan Malaysia

‘Guru patut jadi contoh, ambil vaksin’ – Sultan Johor

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar memuat naik gambar lama baginda bersama guru-guru dan murid dalam Facebook rasmi Sultan Johor ketika mengulas pengambilan vaksin dalam kalangan guru di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kakitangan awam termasuk golongan guru perlu memahami betapa pentingnya pengambilan vaksin yang bukan sahaja untuk melindungi diri sendiri tetapi kepada keluarga serta masyarakat.

Demikian ditegaskan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang meminta guru-guru tidak terpengaruh dengan agenda pihak tertentu yang tidak mempercayai pengambilan vaksin Covid-19.

Sultan Ibrahim bertitah, pengambilan vaksin adalah penting dan perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negara ini, seterusnya berupaya membendung penularan jangkitan pandemik itu.

“Guru-guru patut jadi contoh dan melindungi anak murid, bukannya membahayakan mereka, apatah lagi sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi. Saya dan keluarga juga sudah lengkap mengambil dua dos vaksin.

“Jangan mudah terpengaruh dengan golongan anti vaksin sebagaimana saya tegaskan sebelum ini. Percayalah pakar perubatan kita yang bertauliah. Mereka yang menolak vaksin tanpa sebab yang sahih seolah-olah merelakan diri dijangkiti,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sebagai mengulas laporan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19 seperti yang dilaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang, semalam.

Mazlan pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar turut memaklumkan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan kepada kumpulan guru terbabit mengenai kebaikan vaksin supaya mereka sedia menerima suntikan.

Sementara itu, Sultan Ibrahim berharap semua rakyat Johor mendapat suntikan vaksin dengan segera, supaya boleh kembali bekerja, berniaga dan menjalani kehidupan seperti biasa.

Baginda dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sering mengambil berat tentang perkembangan vaksin di negeri ini termasuk isu bekalan dan jumlah pendaftaran penerima melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Baru-baru ini, Sultan Ibrahim turut menzahirkan kekecewaan baginda susulan jumlah penerima vaksin di Johor yang masih rendah sebelum kerajaan Persekutuan mengumumkan penambahan bekalan bagi meningkatkan proses vaksinasi.

Semalam, Tunku Ismail juga menyatakan kesediaan baginda untuk berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan kumpulan guru yang dikatakan enggan menerima vaksin bagi mendapatkan maklumat selanjutnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN