Gold Street tarikan utama Kuala Pilah - Utusan Malaysia

Gold Street tarikan utama Kuala Pilah

MOHD. Faizal Abdul Manap menunjukkan kawasan Gold Street di pekan Kuala Pilah yang akan menjadi daya tarikan pengunjung. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Sejak puluhan tahun lalu, umum mengetahui bahawa daerah ini sememang­nya menjadi tumpuan kepada peminat barangan kemas dari dalam dan luar negeri adat Perpatih ini.

Setiap hujung minggu, deretan kedai emas yang terletak di pekan Kuala Pilah itu pasti menjadi tumpuan pe­langgan, dari pagi hinggalah ke petang, bagi yang tidak biasa, pasti menyangkakan ia merupakan pesta.

Menyedari perkara itu dan potensi yang ada, Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) akan memberi nafas baharu kepada deretan kedai emas tersebut sebagai satu daya tarikan ke daerah ini.

Yang Dipertua MDKP, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, menerusi Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kuala Pilah 2035, lokasi sepanjang deretan kedai emas iaitu di Jalan Persekutuan 9 dan Jalan Datuk Undang Johol di sini bakal berubah wajah.

Dikenali sebagai Gold Street, kedua-dua jalan ini akan menyerupai Dubai Gold Souk yang terdapat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan pusat jualan emas terkenal di dunia.

“Gold Street ini bakal direa­lisasikan selepas kawasan ini menjadi tumpuan pelanggan sejak sekian lama kerana menawarkan harga upah yang agak murah dan emas yang lebih berkualiti berbanding lokasi lain.

“Ia akan menjadi seperti Dubai Gold Souk, bagaimanapun kedai emas di sini memiliki ciri yang unik kerana beroperasi di bangunan wa­risan yang lama, jadi kami akan kekalkan identiti tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Faizal, beliau yakin Gold Street itu akan menjadi tumpuan dan lokasi wajib singgah orang ramai termasuk kepada mereka yang melalui pekan daerah ini untuk ke Pantai Timur.

Dalam pada itu, jelas beliau, kawasan itu juga akan diletakkan mercu tanda yang bakal menarik perhatian pengunjung.

“Idea mewujudkan hab perniagaan emas ini juga akan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi menge­lakkan kejadian jenayah di kawasan tersebut.

“Kami juga telah menyediakan CCTV di tiga buah lokasi yang merupakan insiatif bandar selamat, kami akan menambahnya lagi. Menerusi inisiatif bandar selamat tersebut, kami dapat melihat berlakunya pengurangan kadar jenayah di kawasan itu.

“Kami juga akan mengadakan perbincangan dengan persatuan peniaga di kawasan tersebut termasuk berhubung untuk mengindahkan kawasan deretan kedai emas terbabit,” katanya.

Mohd. Faizal menambah, kedai-kedai emas mempunyai keistimewaannya tersendiri dalam kalangan pelanggannya.

“Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kedai-kedai emas telah mengambil inisiatif menggunakan kaedah urusniaga secara dalam talian.

“Harga boleh dirunding malah masih jauh lebih murah daripada tempat lain menyebabkan pelanggan setia membeli emas di kedai-kedai ini walaupun secara dalam talian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN