PUTRAJAYA: Inisiatif meningkatkan kapasiti katil Covid-19 dan katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital awam, hospital swasta dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) merupakan antara enam langkah penting diambil Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF).
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Keong berkata, langkah itu bertujuan mengatasi situasi semasa peningkatan kes positif di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
Beliau yang juga Komander GKV STF berkata, fasiliti itu akan melalui penukaran fungsi di beberapa kawasan di dalam hospital untuk dijadikan wad pesakit.
“Ketika ini, terdapat 29 hospital awam, 51 hospital swasta dan dua PKRC yang menyediakan rawatan bagi pesakit Covid-19 termasuk empat hospital penuh Covid-19 iaitu Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Serdang dan Hospital Sungai Buloh.
“Selain itu, pesakit bukan Covid-19 juga akan dihantar ke hospital swasta bagi membolehkan lebih banyak katil di hospital kerajaan dapat digunakan untuk pesakit Covid-19,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, GKV STF juga meningkatkan perkhidmatan ambulans dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Chee Keong berkata, pihaknya juga memperkenalkan isolasi di rumah dan pemantauan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya bagi pesakit positif yang tidak bergejala dan bergejala ringan.
Selain itu, katanya, pihaknya juga bekerjasama dengan NGO dan sukarelawan bagi melaksanakan aktiviti pengesanan kontak.










