Gerakkan semula Muafakat Nasional di peringkat akar umbi - Utusan Malaysia

Gerakkan semula Muafakat Nasional di peringkat akar umbi

MOHD. YUSSOF LATIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: UMNO dan Pas perlu mengaktifkan semula Muafakat Nasional (MN) di peringkat akar umbi bagi memastikan kerjasama antara dua parti terbesar orang Melayu itu tidak terjejas.

Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, MN perlu melaksanakan aktiviti bersama di peringkat nasional, negeri sehingga ke akar umbi dengan mendekati rakyat untuk membuktikan bahawa muafakat itu dapat memperkukuhkan perpaduan ummah.

“Sempena mengambil semangat hari ulang tahun yang ke-64 kemerdekaan negara tidak lama lagi, MN dicadang menganjurkan aktiviti yang berorientasikan keselamatan, kesejahteraan, kebahagiaan, kemakmuran dan kesatuan rakyat.

“MN sudah pasti dapat menjadi pemangkin kepada perpaduan ummah dengan bersatu dan mengetepikan perbezaan fahaman politik demi kelima-lima orientasi yang disebutkan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, semua pihak maklum MN merupakan gagasan kerjasama UMNO dan Pas dan telah memeterai piagam semasa Perhimpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019.

Sehubungan itu katanya, MN tidak harus sekadar menjadi retorik politik sebaliknya harus menterjemahkan piagam tersebut.

“MN harus melaksanakan aktiviti dan membuktikan komitmen memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara kedua parti yang terbesar orang Melayu sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya.

Tambahnya, MN tidak boleh hanya menjadi sekadar retorik dan kemudiannya alpa dengan amanah yang telah diberikan.

“Saya menggesa sekali lagi supaya MN menggerakkan aktiviti bersama dua parti tersebut iaitu UMNO dan Pas di peringkat bahagian dan cawangan mulai sekarang.

“Semasa MN digagaskan, ramai yang mahu melihat perpaduan ummah boleh dijadikan panduan dalam politik baharu di Malaysia. Namun setelah penyertaan kedua-dua parti itu dalam Perikatan Nasional (PN), MN dilihat tidak lagi agresif seperti sebelumnya,” katanya.

Dalam pada itu katanya, adalah menjadi harapan beliau dan orang-orang Melayu agar penyertaan kedua-dua parti itu dalam PN tidak membantut matlamat dan hala tuju MN ke arah kejayaan dan perpaduan ummah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN