Gencatan politik lebih baik - Utusan Malaysia

Gencatan politik lebih baik

NASRUDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pemimpin parti politik digesa merujuk kembali ke meja rundingan dengan mencari penyelesaian terbaik ke arah kestabilan politik negara yang berkocak teruk mutakhir ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, semua tahu bahawa politik adalah alat untuk membangunkan negara, berkhidmat kepada rakyat dan lebih penting ia dijadikan untuk mengurus kehidupan yang taat kepada Allah.

“Sebagaimana kita faham, bahawa insya-Allah masih ada ahli politik yang ikhlas dan mahu melunaskan objektif tersebut dengan menjadi seorang pemimpin politik yang bukan sahaja bertanggungjawab tetapi bertakwa kepada Allah SWT.

“Pemimpin politik yang mengambil kira elemen hak dan batil, dosa dan pahala serta syurga dan neraka dalam tindakan politik mereka, agar mereka menjadi pemimpin yang adil dan soleh di dunia serta mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah SWT pada hari kiamat kelak,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Nasrudin yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat berkata, solusi politik melalui perbincangan bersama dengan tenang dan saksama demi masa depan agama, negara dan rakyat keseluruhannya adalah amat penting terutama negara masih berdepan ancaman pandemik Covid-19.

Katanya, mungkin pihak yang lebih disegani seperti Yang di-Pertuan Agong boleh menjadi mediator lalu memanggil semua pemimpin politik khasnya yang beragama Islam duduk berbincang mencari penyelesaian demi masa depan Islam sebagai agama Persekutuan, negara yang berdaulat dan rakyat yang harmoni.

“Tempoh wajib diadakan pilihan raya pun sudah tidak lama. Elok sangat masa yang ada ini, kita bersatu dan fokus menyelesaikan isu Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

“Saya fikir, gerakan untuk menukar kerajaan atau mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan amatlah tidak sesuai pada masa ini, selain ia melarikan fokus pada menangani Covid-19, ia juga tidak menyelesaikan masalah,” katanya.

Pada masa sama, Nasrudin berkata, sampai bila negara ini akan damai dari konflik yang merugikan kemakmuran negara, kesejahteraan rakyat dan menjejaskan pula ekonomi.

Justeru katanya, apalah salahnya sesekali dalam sejarah politik negara, adakan gencatan politik untuk semua pihak bersatu membantu kerajaan dalam menangani pandemik serta mengusahakan projek vaksinasi yang sedang giat berjalan sehingga mencapai imuniti kelompok.

“Selayaknya semua pihak bersabar dulu. Sebelum detik sesuai kita kembali menyerahkan mandat kepada rakyat untuk membuat pemilihan baharu bagi menentukan kerajaan yang bakal memerintah kelak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN