Gembira anak saudara bergelar isteri Perdana Menteri - Utusan Malaysia

Gembira anak saudara bergelar isteri Perdana Menteri

HASHIM Abd. Rahman menjaga rumah pusaka datuk kepada Muhaini Zainal Abidin di Kampung Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan sebagai individu yang mesra.

Malah anak jati Kampung Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah itu sering pulang ke kampung orang tuanya bertemu dengan saudara-mara selain mengimbau kenangan di rumah milik arwah datuknya.

Bapa saudara angkat Muhaini, Hashim Abd. Rahman, 72, berkata, dia mengenali anak saudaranya yang dipanggil Nani itu sejak kecil malah merupakan individu yang menjaga rumah peninggalan arwah datuk Muhaini di Kampung Pulau Tiga Kiri di sini.

Menurut Hashim, dia menjaga rumah pusaka itu sejak 2006 dan pada 2019 rumah itu diuruskan Muhaini setelah dibaik pulih serta diubahsuai untuk dijadikan sebagai kediaman untuk berehat jika pulang ke kampung.

“Saya rasa bangga bila suami Nani menjadi Perdana Menteri, macam tak percaya Nani kini bergelar sebagai isteri kepada Perdana Menteri.

“Saya ada ucap tahniah kepada Nani melalui WhatsApp kerana suaminya menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Hashim turut menceritakan keperibadian Muhaini sebagai seorang yang sangat baik, berlemah lembut serta mudah bergaul dengan orang.

“Nani panggil saya pak cik, dia seorang yang bagus, mudah bergaul serta mesra dan dia tidak menyombong, kami semua memang suka dia.

“Saya dengan ibu saudara sebelah emaknya merupakan adik-beradik susuan, kerana itu saya membantu Nani menjaga rumah peninggalan datuk sebelah bapanya,” katanya.

Menurut Hashim, sebelum ini Muhaini sering pulang ke rumah berkenaan, namun sejak pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan awal tahun ini, anak saudaranya itu tidak pernah pulang lagi.

“Sebelum Covid-19, Nani selalu juga pulang tapi tidak menentu. Ada masa sebulan dua kali, ada waktu dua bulan sekali, tapi sejak awal tahun ini Nani belum pulang lagi sebab tidak boleh rentas negeri.

“Jadi sayalah yang membersih dan menjaga rumahnya ini memandangkan itu amanat dia kepada saya.

“Lagi pun jarak rumah saya ke rumah peninggalan ini lebih kurang satu kilometer sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN