Gangguan air di Kuala Terengganu, Kuala Nerus pulih lima hari lagi

Gangguan air di Kuala Terengganu, Kuala Nerus pulih lima hari lagi

Terengganu catu air tengah malam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Gangguan bekalan air membabitkan 28,700 pengguna akaun di daerah ini dan Kuala Nerus sejak kelmarin akibat paip pecah di dasar Sungai Terengganu dijangka pulih lima hari lagi. 

Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) dalam kenyataannya berkata, jangkaan itu bagaimanapun bergantung kepada tahap kerosakan paip di samping keadaan sungai. 

Katanya, pertambahan masa untuk kerja-kerja baik pulih itu adalah disebabkan kerosakan yang rumit dan memerlukan kontraktor berpengalaman serta pakar.

“Bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air sehingga proses pembaikian siap, Satu telah menggerakkan lapan lori tangki yang dibantu oleh pihak bomba Kuala Terengganu dan Syarikat Pengurusan Air Pahang (Paip) untuk diagihkan di kawasan terlibat.

“Di samping itu, sebanyak 36 tangki statik baharu akan ditempatkan di sekitar kawasan terlibat mulai malam tadi bagi menambahkan bilangan tangki sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Kawasan yang terjejas di Kuala Nerus ialah keseluruhan Gong Badak di Kuala Nerus, kawasan perindustrian Gong Badak, Alor Jambu, Tok Jembal, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tepoh, Padang Hangus, Pagar Ubi, Bukit Sudu, Bukit Jong, Sungai Ikan, Gemuruh, Ladang Sentosa, Padang Nenas, Lingai, Bukit Wan, Maras, Bukit Berangan, Batu Rakit, Alor Damak, Pagar Besi, Mengabang Telipot, Mengabang Telong dan Wakaf Tengah.

Manakala daerah Kuala Terengganu pula melibatkan Buluh Gading Masjid, Buluh Gading Dewan, Kampung Banggol Tuan Muda, Petai Bubus, Paya Datu, Jeram, sebahagian Banggol Peradong, Kampung Manir, Kampung Tualang, Kampung Kebor Air dan Kampung Telok Menara.

Menurut Satu, pihaknya turut berusaha menambah 10 lagi lori tangki air dengan memohon bantuan daripada operator-operator negeri lain melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi melancarkan lagi proses agihan bekalan.

Katanya, pergerakan lori dan kedudukan tangki statik boleh disemak melalui https://webapps.satuwater.com.my/tanker_tracker serta aplikasi MySatu di samping boleh  menghubungi talian Careline 1-300-882-111 atau 09-6201111 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya