PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan 4,600 ahli Gabungan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) berisiko gulung tikar sebelum tahun depan ekoran kerugian besar mencecah RM300 juta yang perlu ditanggung mereka.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pihak kementerian menyedari masalah yang dihadapi dan akan mengemukakan maklum balas persatuan untuk dibincangkan di Kabinet.
“Pihak kementerian sedar bahawa jumlah kes positif harian masih di tahap tinggi, namun pengusaha perniagaan dan rantaian bekalan yang telah menerima vaksin sepenuhnya juga sudah ‘penat’ untuk melalui keadaan ini.
“Bukan hanya industri automotif tetapi seluruh rantaian bekalannya perlu dibuka semula daripada bilik pameran hingga ke kilang-kilang yang memasang bahagian dan komponen untuk unit penjualan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.
Terdahulu Ka Siong mempengerusikan perjumpaan dalam talian dengan beberapa persatuan yang berurusan dengan penjualan kenderaan bermotor baharu dan terpakai bagi mendengar maklum balas mereka tentang bagaimana kerajaan harus membuka semula perniagaan dalam fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan datang.
Hadir sama dalam perbincangan itu ialah Presiden FMCCAM, Datuk Tony Khor dan Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad.
Turut serta ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, walaupun kerajaan membenarkan sektor-sektor itu beroperasi dalam Fasa 2 dan Fasa 3 PPN, pemain industri perlu memastikan bahawa setiap pekerja dan pelanggan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.
“Ini bertujuan agar perniagaan mereka dapat beroperasi dengan lebih selamat dan terhindar daripada jangkitan Covid-19.
“Kita tidak boleh leka atau mengambil mudah mengenai prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja atau di mana sahaja walaupun kita sudah lengkap menerima vaksin,” tegasnya.










