GEORGETOWN: Kerajaan sementara berpaksikan perpaduan antara semua parti adalah pilihan terbaik yang boleh dilaksanakan oleh bakal perdana menteri baharu bagi mengelakkan kemelut politik berpanjangan di negara ini.
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, perdana menteri bakal dilantik juga tidak lagi boleh bertindak berlandaskan parti politik diwakilinya semata-mata, sebaliknya mesti mewakili suara semua pihak terutama rakyat yang kini tertekan dengan pandemik Covid-19.
“Konsep yang paling sesuai ketika ini adalah kerajaan sementara yang dibentuk bukan lagi berpandukan politik semata-mata, tetapi mesti berasaskan perpaduan antara semua parti.
“Suhu politik panas pada masa ini perlu dibekukan dengan pelantikan perdana menteri yang diterima rakan dan lawan politiknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Semua ahli Dewan Rakyat diarahkan supaya menghantar surat akuan kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan..
Ahli-ahli Parlimen diberi masa selewat-lewatnya sehingga pukul 4 petang semalam untuk mengemukakan surat akuan secara bertulis.
Menurut Mohd. Yussof, setelah Perdana Menteri baharu itu dilantik, beliau juga perlu membentuk Jemaah Menteri dengan segera bagi meneruskan dan memperbaiki dasar ekonomi, kesihatan, pendidikan serta lain-lain.
“Sekarang ini mana-mana parti atau jajaran politik baharu pun tidak ada majoriti yang besar.
“Pembentukan Kabinet yang bakal disempurnakan sewajarnya merangkumi perpaduan antara semua pihak iaitu setiap parti ada wakil-wakil yang boleh menyumbang kepakaran kepada kerajaan,” katanya.
Tambahnya, bakal perdana menteri baharu ini juga perlu berdepan dengan realiti yang mana beliau menanggung bebananhebat ketika ini dan memerlukan sokongan semua pihak untuk mengembalikan kestabilan negara ini. – UTUSAN ONLINE