Barack dan Michelle Obama nafi khabar angin sudah bercerai - Utusan Malaysia

Barack dan Michelle Obama nafi khabar angin sudah bercerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, dan isterinya, Michelle Obama, tampil memberi respons terhadap spekulasi yang mendakwa mereka menghadapi masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian.

Pasangan ini bagaimanapun memilih untuk menjawab isu tersebut dengan pendekatan santai dan penuh humor.

Dalam episod terbaharu podcast “IMO with Michelle Obama and Craig Robinson”, yang turut menampilkan adik lelaki Michelle sebagai hos bersama, Barack memulakan perbualan dengan berseloroh.

“Dia terima saya semula! Tapi memang tegang sekejap dulu,” kata beliau, disambut dengan gelak ketawa oleh Michelle dan Craig.

Desas-desus mengenai krisis perkahwinan pasangan itu mula timbul sejak beberapa bulan lalu, susulan ketiadaan Michelle dalam beberapa acara awam, termasuk semasa Barack menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Donald Trump pada awal tahun ini.

Craig sendiri mengakui ramai yang bertanyakan kepadanya tentang status hubungan kakaknya dan Barack.

Beliau turut berkongsi kisah seorang wanita di lapangan terbang yang secara terus bertanya kepadanya, “Apa yang dia dah buat sebenarnya?”

Michelle pula menjawab secara bersahaja ‘Saya tahu… sebab bila kami tak dilihat bersama, orang terus fikir kami dah bercerai.”

Walaupun banyak bergurau, Michelle mengambil kesempatan itu untuk menjelaskan rumah tangga mereka kekal utuh walaupun telah melalui pelbagai cabaran sepanjang lebih tiga dekad perkahwinan mereka.

“Tidak pernah walau sekali pun dalam perkahwinan kami saya terfikir mahu meninggalkan suami saya.

“Kami telah melalui masa-masa sukar dan saat-saat menyeronokkan. Saya menjadi insan yang lebih baik kerana lelaki yang saya kahwini ini,” kata Michelle dengan tegas.

Beliau turut mempertahankan keputusannya untuk tidak menghadiri beberapa acara rasmi, yang menurutnya dibuat atas dasar pilihan peribadi setelah sekian lama menjadi figura awam.

“Saya buat keputusan yang sesuai untuk diri saya… tapi orang lebih suka percaya ia berpunca daripada masalah perkahwinan. Saya dikritik hanya kerana memilih untuk berkata ‘tidak’,” jelasnya.

Barack dan Michelle berkahwin pada tahun 1992 dan dikurniakan dua anak perempuan, Malia dan Sasha. Kini, kedua-dua mereka aktif dalam pelbagai inisiatif sosial, penerbitan dan kerja-kerja komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN