KUANTAN: Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM9.5 bilion ke negeri ini, tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaburan tersebut dijangka dapat mewujudkan lebih daripada 6,700 pekerjaan baharu dan 170 peluang keusahawanan bagi rakyat negeri ini.
Menurutnya, ECERDC juga telah merealisasikan pelaburan sebanyak RM2 bilion dalam tempoh mencabar ini sekali gus membuktikan kerjasama erat antara ECERDC, Kerajaan Persekutuan dan negeri serta agensi-agensi berkaitan yang menyumbang kepada peningkatan pelaburan baharu yang signifikan.
“Pelaburan baharu itu merangkumi pembangunan tanah tinggi bersepadu, peluasan kilang pembuatan keluli dan pembuatan sarung tangan di Pahang bagi 2021.
“Saya berharap Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC mengekalkan momentum dalam memastikan projek-projek strategik dan inisiatif-inisiatif yang dirancang untuk negeri ini seperti kerja-kerja infrastruktur dan program-program pembangunan modal insan, dapat diteruskan.
“Dengan itu, secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan pilihan agar manfaat ekonomi dapat dinikmati warga tempatan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang yang diadakan secara maya di sini hari ini.
Terdahulu, sasaran awal perancangan pelaburan ECERDC ke Pahang pada tahun 2021 adalah sekitar RM5.1 bilion.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, bagi mengekalkan momentum penarikan pelaburan ke negeri ini, ECERDC sedia untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Melalui kerjasama ini kita akan mengadakan lebih banyak promosi pelaburan pada separuh kedua tahun ini bagi menarik pelabur dalam sektor-sektor ekonomi utama.
“Walaupun tidak dapat mengadakan misi pelaburan ke luar negara atau acara secara fizikal, setakat ini (separuh pertama 2021) ECERDC telah menganjurkan tiga webinar untuk membina hubungan dan menarik pelabur-pelabur antarabangsa,” katanya.
Baidzawi berkata, ECERDC terus memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Pahang Barat merangkumi daerah Bentong, Cameron Highlands, Raub dan Lipis, manakala Jerantut dan Bera termasuk dalam Pahang Barat Plus melalui aktiviti pertanian dan pelancongan.










