DUN Melaka tangguh sidang kerana Parlimen - Utusan Malaysia

DUN Melaka tangguh sidang kerana Parlimen

AB. RAUF YUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Keputusan kerajaan negeri menangguhkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dari 6 September kepada 20 September depan adalah demi memberikan laluan kepada sidang Parlimen, kata Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan berlaku pertindihan tarikh dengan sidang penuh Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 yang dijadualkan selama 15 hari bermula 6 September.

“Persidangan DUN dijadual bermula sekitar 13 atau 20 September depan dan ini memerlukan persetujuan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

“Kerajaan negeri terpaksa menangguhkannya bagi mengelakkan pertindihan dan memberi laluan kepada persidangan Parlimen ketika itu,” katanya di sini hari ini.

Utusan Online sebelum ini melaporkan, blok pembangkang menyatakan kekesalan selepas kerajaan negeri menangguhkan persidangan DUN Melaka yang sepatutnya berlangsung 6 September kepada 20 September depan.

Ketua Pembangkang, Adly Zahari berkata, ini kerana barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) telah mengemukakan sebanyak 110 soalan lisan dan 165 soalan bertulis kepada Urusetia DUN yang merangkumi pelbagai isu semasa.

Katanya, penangguhan itu menjejaskan peluang semua pihak untuk mendapatkan maklumat mengenai pengurusan Covid-19, program vaksinasi serta perancangan kerajaan negeri mengenai penjanaan ekonomi rakyat di kala pandemik dan pasca Covid-19 serta pelan pemulihan ekonomi dan fasa-fasa dirancang.

“Tindakan kerajaan negeri menangguhkan persidangan DUN Melaka yang dijadualkan pada 6 hingga 9 September kepada 20 September amatlah dikesali,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN