Dua warga asing ditahan bersama dadah bernilai lebih RM671,000 - Utusan Malaysia

Dua warga asing ditahan bersama dadah bernilai lebih RM671,000

FISOL Salleh (dua dari kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang lelaki dan seorang wanita warga asing dipercayai ahli sindiket dadah dari Lembah Klang ditahan polis dalam dua serbuan di Gelugor, di sini serta Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah, Ahad lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat hampir 19 kilogram (kg) bernilai lebih RM671,000 yang dipercayai akan diedarkan untuk pasaran tempatan.

Difahamkan, wanita warga Vietnam berusia 31 tahun yang ditahan di sebuah kondominium di Gelugor itu adalah kekasih kepada ketua sindiket pengedaran dadah berkenaan yang berada di Lembah Klang.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek lelaki warga Myanmar yang berusia 56 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam di sebuah rumah teres di Bukit Tengah, manakala suspek wanita ditahan kira-kira pukul 10.50 malam di sebuah kondominium di Gelugor, di sini.

Dalam serbuan di Bukit Tengah, jelas beliau, polis merampas sebanyak 18.58 kg dadah disyaki syabu bernilai RM668,772 selain 12 gram (g) pil erimin 5 (RM690); 50 butir peluru jenis A USA 9 MM Luger; 56 liter cecair kimia dan peralatan memproses dadah.

“Polis kemudian menyerbu kondominium yang disewa suspek wanita pada harga RM1,200 sebulan dan merampas 45.5 g syabu bernilai RM1,634,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan polis mendapati suspek lelaki yang tinggal di negara ini sejak 10 tahun lalu itu menjadikan rumah sewa tersebut sebagai tempat penyimpanan dadah.

“Pemeriksaan dokumen mendapati pasport serta dokumen perjalanan diri suspek telah tamat tempoh sejak 2017 manakala suspek wanita pula tinggal di negara ini sejak dua tahun lalu,”katanya.

Dalam pada itu katanya, susulan penangkapan dua warga asing berkenaan polis turut menahan 10 lagi suspek di Lembah Klang iaitu tujuh lelaki dan tiga wanita berusia 27 hingga 65 tahun.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang ketua, tujuh ahli sindiket serta dua pembekal dadah dan kini ditahan untuk siasatan kes pengedaran dadah di Ampang, Selangor.

“Sindiket ini terlibat dalam pengedaran dadah syabu sejak Ogos tahun lalu dan mereka mendapat bekalan dadah dari Lembah Klang untuk diedarkan di Pulau Pinang dan negara jiran menggunakan jalan darat dan laut,” katanya.

Tambahnya, polis juga masih menjalankan siasatan berhubung 50 butir peluru yang dirampas di rumah yang disewa suspek lelaki dan dipercayai digunakan ketika menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

“Polis turut menyita wang tunai pelbagai mata wang, jam tangan berjenama dan pelbagai barangan kemas yang kesemuanya bernilai RM48,730 dan kesemua dadah dirampas itu boleh digunakan lebih 9,3250 penagih,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B; Seksyen 39A(1); Seksyen 12(3); Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39(2) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN