KOTA KINABALU: Dua lelaki dipercayai anggota kumpulan militan Abu Sayyaf ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di Pulau Timbang, Sandakan awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, kedua-dua lelaki tersebut ditembak mati oleh pasukan keselamatan khas yang sedang mengesan kumpulan berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.
Difahamkan senjata api yang digunakan oleh kedua-dua suspek di lokasi kejadian turut dirampas.
Kejayaan itu susulan daripada maklumat operasi khas yang dijalankan di Taman Sri Arjuna, Beaufort pada 8 Mei lalu.
Hasil daripada maklumat berkenaan, pasukan keselamatan menjalankan operasi bagi mengesan beberapa lagi ahli kumpulan Abu Sayyaf.
Pegawai dan anggota polis akhirnya berjaya mengesan dua ahli kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Timbang, Sandakan dan berlaku berbalas tembakan yang menyebabkan kedua-dua lelaki ditembak mati.
Sementara itu, semua pegawai dan anggota keselamatan yang menjalankan operasi dalam keadaan selamat.
Pada 8 Mei lalu, lapan anggota kumpulan militan Abu Sayyaf termasuk dua individu yang berada dalam senarai dikehendaki kerajaan Filipina ditahan dalam serbuan di kawasan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort.
Kemudian, pada 17 Mei lalu, lima lagi anggota kumpulan militan itu berjaya ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan di lokasi yang sama.