Dua lelaki ditahan, sita dadah  RM108,000 - Utusan Malaysia

Dua lelaki ditahan, sita dadah  RM108,000

SEBAHAGIAN daripada dadah yang dirampas selepas menahan dua lelaki di Amanjaya, Sungai Petani, Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah bernilai RM108,000 di dalam sebuah kereta di Amanjaya di sini, Rabu lalu.

Kedua-dua lelaki berumur 22 dan 28 tahun  ditahan di dalam kereta Proton Saga Iswara yang berhenti di tepi jalan, sebuah pusat servis kenderaan di Jalan Melati 1, Amanjaya di sini pada pukul 12 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Taufik Maidin berkata, serbuan dilakukan selepas melakukan pemerhatian dan intipan di kawasan berkenaan selama 20 minit.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam kereta itu menemui sebuah beg yang mengandungi dadah jenis heroin dan syabu.

“Pihak kita menemui empat bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan berwarna putih disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 1,800 gram dan dua bungkusan plastik lut sinar berisi ketulan berwarna kuning disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 900 gram.

“Turut dirampas dua bungkusan plastik berwarna hijau bertulis ‘guanyinwang’ berisi ketulan kristal disyaki dadah  syabu anggaran berat 2,072.50 gram di dalam beg  sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Katanya, anggaran berat keseluruhan dadah jenis heroin yang berjaya dirampas ialah 2,700 gram manakala dadah jenis syabu 2,072.50 gram dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM108,000.

Tambahnya, polis menyita seutas rantai dan loket berwarna kekuningan bernilai RM1,500 serta sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 bernilai RM5,800 milik salah seorang suspek.

“Ujian air kencing mendapati dua lelaki warga tempatan itu negatif dadah. Mereka direman tujuh hari bermula 26 Ogos lalu dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN